Koleksi Sensasi

Di Manakah Lokasi Rahsia Morsi?

KAHERAH – Diplomat kanan Kesatuan Eropah (EU), Catherine Ashton semalam menyatakan bahawa Presiden Mesir yang digulingkan, Mohamed Morsi berada dalam keadaan sihat.

Beliau menyatakan demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Morsi di sebuah lokasi rahsia di Mesir.

Pemimpin tersebut kini berada dalam tahanan tentera selepas beliau digulingkan dalam satu rampasan kuasa pada 3 Julai lalu.

Dalam satu kenyataannya selepas pertemuan selama dua jam itu Ashton yang merupakan ketua dasar luar EU menggesa agar keganasan di Mesir segera ditamatkan.

Beliau berkata, semua pihak termasuk pergerakan Islam terbesar di Mesir, Ikhwanul Muslimin perlu terlibat dalam proses politik di negara itu.

“Beliau tidak akan melawat Morsi jika tidak berpuas hati dengan kawalan keselamatan yang diatur,” kata jurucakap diplomat tersebut, Michael Mann.

Dalam pada itu, Ashton memberitahu bahawa Morsi mendapat akses kepada maklumat dunia luar dengan beliau dibenarkan membaca akhbar dan menonton televisyen.

“Saya cuba memastikan agar keluarganya (Morsi) tahu bahawa beliau berada dalam keadaan sihat dan selamat,” katanya. – AP