Koleksi Sensasi

Guo Mungkin Melihat Semula


Hong Kong: Kanak-kanak malang yang buta apabila matanya dikorek seorang wanita mungkin dapat melihat semula suatu hari nanti apabila sebuah hospital menawarkannya rawatan mata elektronik kepadanya.

Pakar mata berpangkalan di Hong Kong, Dennis Lam berkata, pasukannya akan memberikan rawatan percuma kepada Guo Bin - atau lebih dikenali sebagai Bin Bin - yang ditemui berlumuran darah dekat rumah di Shanxi, utara China bulan lalu.

Lam memberitahu media teknologi canggih itu dapat mengembalikan 40 peratus penglihatan kanak-kanak itu.

“Apabila saya mendengar berita mengenai Guo, saya sangat marah dan sedih. Saya bertanya kepada diri sendiri sama ada saya boleh membantunya.

“Sebagai doktor mata, matlamat utama kami ialah agar pesakit dapat melihat semula,” katanya.

Lam berkata, dia masih menunggu kata putus ibu bapa Guo untuk membawa kanak-kanak itu ke hospital di Shenzhen, selatan China, untuk membolehkan dia menerima sepasang mata palsu kepada Guo seawal minggu depan. 

Kamera dalam mata palsu itu akan memberikan isyarat berdasarkan bentuk objek kepada denyutan penjana elektrik yang disambungkan pada lidahnya bagi membantu Guo mengenali bentuk objek. 

Lam berkata, teknologi itu sudah pun digunakan di Jepun dan Eropah.

Matlamat akhir ialah untuk memberi kanak-kanak itu mata bionik yang disambungkan pada otak yang akan membantunya memperoleh sebahagian penglihatannya. 

“Akhirnya penglihatan Guo dapat mencapai 20 hingga 40 peratus apabila kita bercakap mengenai 10 tahun akan datang. Matlamat utama adalah untuk membantunya melihat semula,” katanya.

Kabel televisyen Hong Kong berkata, ibu bapa Guo masih menimbangkan tawaran Lam. 

Guo hilang ketika bermain di luar kediamannya dan matanya ditemui berdekatan dengan tempat itu. 

Pihak berkuasa berkata, ibu saudara Guo, Zhang Huiying menjadi suspek utama selepas darah Guo ditemui pada pakaiannya berdasarkan ujian DNA. 

Bagaimanapun, suspek membunuh diri Jumaat lalu dengan terjun ke dalam perigi di kampung itu. - AFP