Koleksi Sensasi

Kereta Armadillo-T Ini Boleh Dilipat


DAEJEON, Korea Selatan - Dengan hanya satu klik pada telefon pintar anda, kereta prototaip elektrik, Armadillo-T buatan Korea Selatan mampu memarkir dan melipatkan dirinya di ruang tempat letak kereta, sekali gus memberi lebih ruang di bandar-bandar yang sesak.

Kereta unik berkapasiti dua tempat duduk itu dinamakan sempena nama tenggiling.

Prototaip itu bagaimanapun mungkin tidak dikeluarkan. Ia dihasilkan sebagai sebahagian daripada trend pembangunan kenderaan mesra alam untuk kawasan bandar.

Kereta tersebut mampu bergerak sejauh 100 kilometer selepas dicaj selama 10 minit dan boleh memecut selaju 60 kilometer sejam.

Apabila hendak diparkir, bahagian hadapan Armadillo-T mampu melipatkan diri sehingga mencecah ukuran 1.65 meter.

"Kereta ini boleh diletakkan di setiap sudut di jalan raya dan bangunan sama ada pangsapuri, pusat beli-belah atau pasar raya," kata Profesor Suh In-soo dari Institut Sains dan Teknologi Lanjutan Korea yang mengetuai pembangunan kereta berkenaan.

In-soo menggantikan cermin sisi dengan beberapa buah kamera digital kecil yang memaparkan bahagian belakang dan sisi kereta.

Satu sistem komputer berasaskan aplikasi Windows akan berkomunikasi dengan telefon pintar pemandu. Ini membolehkan kereta unik itu meletakkan dirinya di tempat letak kereta yang disediakan. - Reuters