Koleksi Sensasi

36 Hari Sikat Rambut, Berbual Dengan Mayat Isteri

Kematian orang yang dikasihi memang sukar diterima. Bagaimanapun seorang suami di Kajang mengharungi detik sedih dalam kehidupannya dengan cara yang tidak masuk akal.
Seolah-olah menolak realiti lelaki ini terus membiarkan mayat isteri kesayangannya yang sudah meninggal dunia di rumah tanpa memberitahu sesiapa tentang kematian tersebut apatah lagi melakukan upacara pengebumian.

Selama 36 hari sebelum kelakuannya ini terbongkar, Wong Tuck Wei, 40, mendudukkan mayat si isteri, Lim Ah Tee, 42, di kerusi menghadap tingkap di bilik mereka dan menyikat rambutnya serta berbual dengan mendiang setiap hari, seperti biasa.

Kematian ini langsung tidak disedari anak tunggal pasangan berkenaan kerana bapanya memberi alasan ibunya sakit dan perlu berehat di bilik tingkat atas kediaman mereka di Taman Damai Perdana.

Segalanya hanya terbongkar selepas abang Ah Tee berkunjung ke kediaman tersebut dan terkejut dengan perkara ini lalu menasihatkan Tuck Wei melaporkannya kepada polis.

Menurut Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab,Tuck Wei membakar banyak setanggi, membuka kipas dan tingkap bilik selain meletakkan tuala basah di sekeliling tubuh mayat bagi menghilangkan bau busuk.

Apa yang menghairankan pihak polis ujarnya, tiada ulat langsung yang hinggap di badan mayat kecuali seekor kumbang.

Mayat dilaporkan sudah mereput dengan daging tertanggal daripada kulit hingga tinggal tengorak.

“Namun, keadaan rambutnya kemas dan cantik kerana disikat setiap hari,” kata Ab Rashid.


berita harian online