Koleksi Sensasi

Abby Abadi Diselar Tuduh UMNO Jadi Punca Artis Abaikan Islam


PETALING JAYA: Presiden Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi menyelar kenyataan pelakon dan penyanyi Abby Abadi yang menuduh Umno bertanggungjawab menjadikan golongan selebriti di Malaysia mengabaikan tanggungjawab sebagai umat Islam.

Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 33, berkata, Abby tidak sepatutnya mengaitkan dan menyalahkan parti politik sebagai penyebab gejala maksiat berleluasa dalam industri hiburan tanah air.


Dalam ceramah di Kampung Dulang Kecil di Yan, Kedah pada malam Sabtu lalu, Abby menyalahkan Umno kerana membiarkan gejala maksiat berleluasa dalam industri hiburan tanah air.

Abby yang kini menjadi ahli PAS seumur hidup tampil membantu kempen calon parti itu, Mohd Azam Abdul Samat yang berhadapan saingan satu lawan satu menentang wakil Barisan Nasional, Dr Ahmad Sohaimi Lazim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau yang akan diadakan pada 4 November depan.

Dalam pada itu, Zed Zaidi turut mempertikaikan perjuangan Abby dalam parti Pas yang dilihat tidak ikhlas dan hanya bersuara apabila berceramah untuk membantu parti tersebut ketika pilihan raya.

Jelas Zed, ceramah yang disampaikan oleh Abby hanya mencari kesalahan orang lain selain menabur fitnah sekali gus bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Sementara itu, pelakon Naszriah Ngasri memberitahu sepanjang terlibat sebagai Ketua Puteri Umno Bahagian Bukit Bintang dia tidak melihat parti komponen BN itu menyesatkan dunia hiburan sebaliknya parti itu sentiasa menegakkan syiar Islam dikalangan ahli-ahlinya.

Kata Naszriah atau lebih mesra dengan sapaan Anne, Umno juga sentiasa peka dan bersungguh-sungguh dalam menangani gejala maksiat yang bukan sahaja dalam bidang hiburan tetapi secara keseluruhan.

Tambah Anne sepanjang bergelar artis, dia belum pernah melihat pihak produksi melarang atau tidak membenarkan artis atau pun krew untuk bersolat.