Koleksi Sensasi

ATM vs TRW: Siapa Ke Final?

KEJAGUHAN dua pasukan terbaik negara, Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekali lagi teruji pada pertemuan sengit separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Jika tahun lalu, kedua-dua pasukan berentap dalam pentas final, namun kali ini mereka bertembung lebih awal dan salah satu pasukan pasti akan tersingkir dari saingan merebut piala paling berprestij itu.

Kelantan atau lebih terkenal dengan gelaran The Red Warriors (TRW) kini mengatasi lawan dengan kelebihan satu gol setelah menewaskan The Gladiators 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Selayang, 18 Oktober lalu.

Kematangan, pengalaman dan kualiti jelas menjadi inti pati bagi kedua-dua pasukan untuk memburu salah satu slot ke perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-87 ini. Namun, sejak lima tahun kebelakangan ini pentas perlawanan akhir sebenarnya lebih sinonim dengan Kelantan.

Soalnya, adakah Kelantan selaku juara bertahan berupaya mara ke pentas final buat kali keempat atau adakah ATM mampu mencipta kejutan di gelanggang keramat TRW untuk melangkah ke pentas akhir kempen Piala Malaysia musim ini?

ANALISA KEDUA-DUA PASUKAN

PENJAGA GOL

Hanya melepaskan 10 gol sehingga aksi separuh akhir pertama mencerminkan reputasi Khairul Fahmi Che Mat selaku penjaga gol nombor satu Kelantan pada ketika ini. Beliau tidak berdepan masalah untuk mengulangi persembahan terbaik kerana cukup bersemangat beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Mohd Farizal Harun berdepan tekanan cukup hebat untuk menggagalkan percubaan berbahaya Kelantan pada perlawanan ini. Beliau sudah pasti mengharapkan keampuhan rakan di benteng pertahanan untuk menyekat asakan menggila pemain tuan rumah.

PERTAHANAN

Benteng pertahanan Kelantan dilihat cukup kebal berbanding ATM. Tonggak pertahanan import, Obinna Nwaneri kini berada di prestasi kemuncak sementara Azizi Matt Rose kian serasi bergandingan di posisi pertahanan tengah bersama pemain kelahiran Nigeria itu sejak kebelakangan ini.

Aksi mantap mereka turut dibantu Mohd Farisham Ismail yang beraksi cemerlang di posisi bek kanan sementara Zairul Fitree Ishak, meski pun prestasinya turun naik sebelum ini namun tetap mendapat kepercayaan daripada Bojan Hodak untuk memikul tugas selaku pertahanan kiri.

Sementara itu, pertahanan ATM dilihat cukup goyah ekoran kehilangan Amirizdwan Taj Tajudin akibat penggantungan perlawanan sementara Nor Fazly Alias pula terpaksa diketepikan setelah mengalami kecederaan.

Tugas berat menanti Irwan Fadzli Idrus dan Muhammad Shukor Adan yang terpaksa berdepan kemaraan Dickson Nwakaeme. Prestasi terbaik bek kanan, K Reuben Thayaparan memberi kelegaan kepada Satiananthan namun beliau mungkin terpaksa mengarahkan Mohd Affize Faisal Mamat untuk kembali beraksi di posisi bek kiri pada perlawanan ini.

TENGAH 

Tidak ada keraguan mengenai enjin tengah Kelantan yang diterajui kemas oleh Mohd Shakir Shaari dan Zairo Anuar Zalani, pemain yang jarang diberi peluang namun sudah kembali membuktikan kemampuan sebenarnya dalam perlawanan lalu.

Malah penguasaan tengah Kelantan juga cukup mantap kerana ditunjangi dua pemain sayap, Mohd Norfarhan Muhammad dan Indra Putra Mahayuddin yang mampu bertindak sebagai penyerang sokongan dan menjaringkan gol dalam situasi terdesak. 

Di kem ATM, kaptennya, Hairuddin Omar dilihat berdepan tugas berat untuk menyekat dominasi pemain tengah Kelantan meski pun dibantu awang import dari Argentina, Bruno Martelotto dan Mohd Affize Faisal Mamat.

Begitu pun, B Satiananthan pasti mengharapkan kepantasan larian pemain sayapnya, Christie Jayaseelan dan Mohd Fitri Omar yang mampu melakukan hantaran lintang berbahaya untuk memerangkap benteng pertahanan Kelantan.

SERANGAN

Dickson Nwakaeme membuktikan status beliau selaku penyerang import yang hebat kerana berupaya memporak-perandakan benteng pertahanan ATM pada perlawanan lalu. Memang cukup sukar bagi pemain lawan menyekat kemaraan pemain bertubuh sasa ini.

Malah, Nwakaeme mempunyai sokongan hebat daripada Kapten TRW, Mohd Badhri Radzi yang mempunyai tugas baru selaku penyerang kedua di belakang beliau menerusi hantaran dan lorongan berkualiti.

Sementara itu, penyerang prolifik ATM, Marlon Alex James, yang merupakan penjaring terbanyak Piala Malaysia dengan tujuh gol pastinya berdepan tugas sukar untuk merobek gawang Kelantan kerana akan dirantai secukupnya Obinna Nwaneri.

Namun ketajaman di depan pintu gol selain mempunyai kepakaran dalam situasi bola mati memberi amaran kepada benteng pertahanan dan penjaga gol Kelantan agar berwaspada dengan kelibat pemain berusia 37 tahun itu.