Koleksi Sensasi

Gravity Kekal Juara Carta Filem Pecah Panggung


LOS ANGELES - Filem Gravity mene- ruskan penguasaan apabila mengungguli carta filem pecah panggung untuk minggu kedua berturut-turut di Amerika Utara, menurut perangkaan kutipan tiket kelmarin.

Ia mengaut kutipan tiket sebanyak AS$44.3 juta (RM140.8 juta) berbanding AS$55.8 juta (RM177.3 juta) pada minggu pertama tayangan.

Filem mengenai bencana di angkasa lepas itu diarah oleh Alfonso Cuaron dan dibintangi pelakon terkenal, George Clooney dan Sandra Bullock.

Sementara itu, menurut agensi yang mengumpul jumlah kutipan tiket, Exhibitor Relations, filem baharu, Captain Phillips lakonan Tom Hanks menduduki tempat kedua dengan meraih AS$26 juta (RM82.6 juta).

Turun di kedudukan ketiga dalam tempoh tiga minggu adalah filem sekuel animasi, Cloudy With A Chance of Meatballs 2 apabila mengaut AS$14.2 juta (RM45 juta).

Filem aksi baharu, Machete Kills pula berada di tempat keempat manakala tempat kelima menjadi milik filem Runner Runner lakonan Justin Timberlake.

Kedua-dua filem itu masing-masing meraih kutipan tiket sebanyak AS$3.8 juta (RM12 juta) dan AS$3.7 juta (RM11.7 juta). - AFP