Koleksi Sensasi

“Jangan Bagi Amaran, Dapat Bukti Tembak Dulu”- Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR 7 OKT: Menteri Dalam Negeri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi terus mengeluarkan kenyataan mencetuskan kontroversi apabila memberi gambaran lebih baik suspek penjenayah ditembak sebelum siasatan.


Malaysiakini melaporkan, Zahid berkata demikian dalam satu ‘Majlis taklimat keselamatan bersama pemimpin masyarakat’ pada Sabtu lalu, yang kemudian bertukar menjadi acara Umno.

Portal itu melaporkan wartawan dihalau keluar dengan penuh biadap ketika Zahid hampir menamatkan ucapannya, dan diugut agar tidak membuat laporan berhubung ucapannya. Zahid didakwa mengancam untuk menutup akhbar mereka sekiranya tidak berbuat demikian.

Hanya akhbar Oriental Daily News melaporkan Zahid memberi amaran selepas membuat “kenyataan sensitif”, namun tidak memberi butiran lain berhubung kenyataan tersebut.

Malaysiakini berjaya mendapatkan rakaman audio sepanjang 20 minit bagi ucapan yang disampaikan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh, Melaka.

Berdasarkan rakaman tersebut, Zahid berkata kira-kira 28,000 dari 40,000 anggota gengster terdiri dari masyarakat India dan tiada salahnya menahan mereka.

“Bagaimana keadaan mangsa-mangsa rompakan, mangsa-mangsa bunuh masa tembakan ini, kebanyakannya adalah orang Melayu kita. Kebanyakannya ialah bangsa kita.

“Saya pikir, cara paling baik jangan ada kompromi dengan mereka. Jangan ada lagi amaran kepada mereka, kita dapat bukti kita tembak dulu.

Zahid seterusnya membangkitkan kes tembakan maut ke atas lima suspek anggota kongsi gelap di Pulau Pinang pada Ogos lalu. Beliau turut menegur Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorty – tanpa menyebut namanya – kerana mempersoalkan kejadian tersebut.

“Ada timbalan menteri cengkadak buruk, dia pertikaikan saya dan polis, kenapa tak beri tembakan amaran dulu. barulah tembak. Saya kata kalau kamu nak jadi NGO, letaklah jawatan timbalan menteri, tak layak jadi timbalan menteri,” katanya yang disambut sorakan hadirin.

Zahid juga menyifatkan pindaan ke atas Akta Pencegahan Jenayah 1959 (PCA) yang memperkenalkan penahanan tanpa bicara sebagai undang-undangnya.

“Kita siasat, kita bawa ke mahkamah, kalau tak ada bukti, kalau tak cukup bukti, sekurangnya dua tahun penahanan. Itu undang-undang baru saya, tiada kompromi,” katanya lagi. Pindaaan ke atas PCA itu memberi kuasa untuk membuat penahanan tanpa perbicaraan dalam tempoh dua tahun bagi satu-satu masa.