Koleksi Sensasi

Keadaan Stabil, Rahim Razali Bakal Jalani Pembedahan


Pelakon Datuk Rahim Razali, 71, perlu menjalani pembedahan segera bagi membuang pendarahan dalam otaknya agar penyakit yang dikenali sebagai subdural hemorrhage tidak bertambah serius.

Anak kepada seniman itu, Nadia Rahim, 41, berkata, ketika ini keadaan tekanan darah ayahnya tidak beberapa stabil membuatkan pihak hospital menetapkan tempoh dua atau tiga hari lagi bagi tujuan berkenaan.

Rahim dimasukkan ke Pusat Perubatan Sunway di sini pada Ahad selepas mengalami sakit kepala ketika menjalani penggambaran rancangan sukan terbitan Astro Arena di Kuantan, Pahang sehingga terpaksa di bawa pulang ke Kuala Lumpur.

Selepas dihantar ke pusat perubatan itu oleh keluarga, pihak hospital perlu menahan Rahim apabila ujian sinar X mendapati terdapat kesan darah pada otaknya yang perlu dibedah segera.

Dalam pada itu Nadia berkata, pendarahan itu terjadi kerana Rahim tidak cukup rehat apabila terpaksa menjalani penggambaran sehingga di luar Kuala Lumpur.

Rahim kini masih lagi ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pusat perubatan itu.