Koleksi Sensasi

Kelantan Sah Ke Final

KELANTAN menepati ramalan apabila melangkah ke pentas final Piala Malaysia buat kali keempat dalam tempoh lima tahun selepas menyingkirkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan agregat 4-3.

Pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi, Kelantan dan ATM terikat dengan seri 2-2.

Keputusan itu sudah mencukupi buat Kelantan mara ke final selepas skuad The Red Warriors itu menang 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang minggu lalu.

Pada aksi malam tadi, ATM terlebih dulu mengasak kubu Kelantan menerusi kapten, Hairuddin Omar dan peledak berbisa, Marlon Alex James dalam tempoh lima minit pertama perlawanan.

Kelantan kembali bangkit dan hampir berjaya memecah kebuntuan gol, namun rembatan kapten, Mohd. Badhri Radzi diselamatkan penjaga gol ATM, Farizal Harun pada minit ke-13.

ATM memperoleh 'gol semangat' apabila Marlon meledak gol pertama The Gladiators pada minit ke-18.

Marlon membuktikan sentuhan pemusnahnya semakin berbisa dengan menyumbang gol kedua ATM pada minit ke-35.

Bersambung babak kedua, giliran Kelantan memberi tekanan kepada benteng ATM bagi memburu gol.

Tempoh 10 minit terakhir perlawanan ternyata menjadi milik Kelantan yang memperoleh gol pertama menerusi rembatan kencang penyerang gantian, Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-82.

Badhri terus menggamatkan stadium apabila menjaringkan gol kedua The Red Warriors berselang tiga minit kemudian bagi menjadikan kedudukan agregat 4-3.

Bagi pengendali ATM, B. Sathianathan, beliau ternyata kecewa dengan keputusan pengadil perlawanan, Mohd. Nafeez Abd. Wahad yang mengesahkan gol pertama Kelantan.

"Kenapa dia (Nafeez) tidak nampak (kaki Fakri melepasi kepala pemain pertahanan ATM, Fazly Alias).

"Kalau bola itu tinggi, pemain pertahanan kita sudah gunakan kepala tetapi pemain (lawan) itu sambar juga, ia satu kesalahan.

"Apa-apa pun, saya tetap berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan barisan pemain saya," katanya.

Sementara itu, jurulatih Kelantan, Bojan Hodak sudah pasti gembira atas kejayaan skuad kendaliannya menempah slot final yang dijadualkan berlangsung di Stadium Shah Alam, 3 November depan.

"Mereka berjaya bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat kedudukan (2-2)," ujarnya.