Koleksi Sensasi

Kutipan Filem KL Gangster 2, RM5 Juta


Penerbit dan pengarah filem Datuk Yusof Haslam menyifatkan kutipan sebanyak RM5 juta untuk filem KL Gangster 2 sebagai satu rahmat buat karya arahan Syamsul Yusof itu walaupun ia telah disebarkan menerusi Internet dan menjadi mangsa cetak rompak sebelum ia ditayangkan.

Yusof, 59, berkata, walaupun telah kehilangan 70 peratus penonton gara-gara insiden itu namun beliau tetap bersyukur ia masih mendapat perhatian daripada peminat setia filem berkenaan.

"Apabila filem berkenaan tersebar, saya hanya harap KL Gangster 2 dapat mengutip RM1 juta sahaja tetapi Alhamdulillahlah kita berjaya mendapat RM5 juta.

Sementara itu, Yusof berkata, beliau masih menunggu hasil siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berhubung penyebaran filem berkenaan sebelum ini.

Jelas Yusof, sehingga kini kedua-dua pihak tersebut tidak memberikan sebarang maklum balas mengenai laporan yang dibuat walaupun telah beberapa kali beliau bertanya mengenainya.

"Saya agak terkilan apabila perkara ini dipandang remeh kerana ia bukan hanya mengenai filem saya sahaja tetapi siasatan itu perlu dibuat bagi memberi jaminan bahawa kejadian menimpa saya tidak akan berulang kepada penerbit lain.

"Pihak saya masih menanti apakah hasil siasatan yang dibuat oleh pihak SKKM dan KPDNKK berhubung isu tersebut," katanya.