Koleksi Sensasi

Nadal Rampas Status No. 1 Dunia

Bintang Sepanyol, Rafael Nadal kembali merampas status pemain No. 1 dunia meskipun tewas kepada Novak Djokovic pada aksi final kejohanan tenis Terbuka China semalam.


Nadal yang kini memenangi 13 gelaran Grand Slam, hanya perlu mara ke final Terbuka China untuk merampas semula status pemain No. 1 dunia daripada Djokovic yang akan diumumkan secara rasmi hari ini.

Begitupun, Nadal tunduk 3-6, 4-6 kepada Djokovic pada aksi final Terbuka China semalam, sekali gus membolehkan jaguh Serbia itu mengekalkan rekod kemenangan bersih sepanjang kejohanan ini.

Sebelum ini, Djokovic mempertahankan gelaran selaku pemain No. 1 dunia selama 101 minggu sejak merampas status tersebut daripada Nadal pada Julai 2011.

"Sudah pasti perasaannya amat istimewa sekali apabila kembali memegang status pemain No. 1 dunia selepas tidak bermain lebih kurang setahun setengah.

"Sepanjang musim ini, saya berasa sangat teruja setiap kali turun ke gelanggang," jelas Nadal.

Begitupun, Nadal yang menewaskan Djokovic pada separuh akhir Terbuka Perancis, final Terbuka Amerika Syarikat dan Kanada Masters tahun ini mengakui, tidak cukup kuat untuk mengalahkan seteru utamanya itu kali ini.

"Saya tidak bermain pada tahap terbaik hari ini (semalam) sementara Novak pula dalam prestasi terbaiknya terutama pukulan servisnya.

"Dia juga mampu menghantar bola di tempat yang dia mahukan, jadi apabila ia berlaku ke atas pemain seperti Novak, kamu sudah pasti tiada peluang untuk menang," kata Nadal.

Selepas perlawanan, Djokovic mengucapkan tahniah kepada Nadal di atas pencapaiannya itu.

"Saya harus mengucapkan tahniah kepada Rafael kerana dia berhak memegang status pemain No. 1 dunia jika berdasarkan prestasinya tahun ini.

"Dia adalah pemain terbaik bagi setakat musim 2013, tidak diragui lagi mengenainya.

"Saya hanya berasa amat gembira kerana dapat meneruskan prestasi terbaik saya pada kejohanan ini," jelas Djokovic. - AFP