Koleksi Sensasi

Penduduk Mouadamiya Merayu Agar Diselamatkan


DAMSYIK - Penduduk sebuah bandar di Syria yang dikepung tentera Presiden Bashar Al-Assad merayu kepada masyarakat dunia supaya "menyelamatkan kami daripada kematian" dalam sepucuk surat terbuka bagi menceritakan penderitaan dan kesengsaraan mereka.

Mereka berkata, beratus-ratus lelaki, wanita dan kanak-kanak di bandar berkenaan, Mouadamiya telah mati manakala ribuan yang lain cedera.

Terletak ke barat daya bandar raya ini, Mouadamiya ditawan pihak penentang Bashar, Tentera Pembebasan Syria (FSA) tahun lalu dengan pemerintah cuba untuk menguasai semula bandar berkenaan sejak daripada itu.

"Selama hampir setahun, Mouadamiya dikepung dengan bekalan makanan, elektrik, ubat, perkhidmatan telefon dan bahan api disekat," menurut kandungan surat itu yang disiarkan oleh kepimpinan penentang, Majlis Kebangsaan Syria (SNC) semalam.

"Kami diserang menggunakan roket, peluru meriam, bom napalm dan senjata kimia," tambahnya.

Menurut SNC, hampir 12,000 orang kini berdepan kebuluran dan kematian di Mouadamiya.

Sekitar 90 peratus bandar itu telah musnah manakala penduduk terpaksa memakan daun kayu untuk terus hidup.

Dalam perkembangan berkaitan, ketua kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Valerie Amos memberitahu pada minggu lalu bahawa walaupun pemerintah telah memindahkan 3,000 penduduk pada bulan ini, beribu-ribu orang masih terperangkap di Mouadamiya.

"Pasukan PBB tidak diberikan akses untuk memasuki bandar berkenaan," kata Amos.

Setakat ini, lebih 100,000 orang telah mati dalam perang saudara di Syria yang bermula dengan tunjuk perasaan terhadap pemerintahan empat dekad oleh keluarga Bashar. - Reuters

Laknat syiah