Koleksi Sensasi

Que Setuju Bintangi Rock 3

Menjadi antara tonggak penting untuk filem komedi Rock Oo, pelakon serba boleh Oue Haidar mengakui belum memberi kata putus mengenai tawaran membintangi filem Rock 3 arahan Mamat Khalid.

Meskipun cukup memilih filem pada saat ini, Que, 34, menyifatkan dia tidak boleh menolak filem berkenaan disebabkan keseronokan berkerja dengan produksi pengarah terkenal itu. 
Apatah lagi dengan keupayaan melakonkan watak komedi bukan kepakaran utamanya, pelakon kelahiran Kulai, Johor itu tidak berselindung bahawa kepuasannya hanya timbul apabila bekerja di bawah Mamat. 

Pernah beberapa kali terbabit dalam produk bergenre sebegitu, akuinya lagi dia tidak pernah mendapat kepuasan seperti mana apabila bergandingan dengan pengarah terbabit.


“Saya rasa akan terima tawarannya untuk membintangi Rock 3 kerana percaya hanya dia yang boleh mengorek unsur komedi dalam diri saya dan pastikan ia menjadi.


“Ada juga mendapat watak komedi untuk filem lain, tetapi saya masih belum yakin sebagaimana Mamat boleh menukar karakter saya menjadi lebih lawak dan semestinya bekerja dengannya memang sangat seronok,” katanya. 

Jarang kelihatan membintangi drama ataupun filem kala ini, terdetik juga adakah pemenang anugerah Pelakon Harapan Lelaki di Festival Filem Malaysia 19 (FFM19) itu sudah tidak menerima tawaran berlakon. 


Menurutnya, bukan tidak menerima cuma pada fasa begini dengan dia pun sudah berumahtangga, terlalu banyak perkara perlu dipertimbangkan dan masa untuk berlakon perlu dihadkan. 

Apatah lagi untuk menerima tawaran drama, baginya, sudah merasai betapa penatnya menjalani penggambaran di set, membuat dia berfikir panjang kalau mahu terima sekalipun. 

“Berlakon drama sangat letih dan sebagai seorang yang sangat mementingkan kualiti persembahan, sukar untuk menonjolkan elemen itu apabila kepenatan sudah menguasai diri. 

“Bila sudah penat, kena siapkan banyak babak pula, tiada masa untuk berfikir dan mendalami skrip bagi menyelami sesuatu karakter. Maka, belum tentu apa yang ditunjukkan dalam lakonan itu bagus atau tidak,” katanya. 

Lebih menumpukan kepada tawaran filem kini, apapun dia masih bersikap lebih memilih kerana baginya tidak perlu buat banyak filem kerana di pengakhiran, kualiti itu yang membuatkan sesuatu karya diingati. 

“Bukan mahu kata bagus tapi realitinya begitulah apabila memikirkan balik akar umbi untuk berkarya, kepuasan itu akan terasa apabila dapat melakukan sebuah filem yang akan diperkatakan dan diingati sampai bila-bila. 

“Itulah saya tidak kisah kalau dapat berlakon biar satu filem saja dalam beberapa tahun tapi impaknya lama,” katanya.