Koleksi Sensasi

Sarawak Nyala Impian 14 Tahun

SARAWAK berazam menamatkan penantian 14 tahun untuk mara ke pentas final Piala Malaysia dengan misi membenam Pahang pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Negeri, Kuching malam ini.


Ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata, 'loceng penggera' sudah dibunyikan agar anak-anak buahnya bangkit menebus kekalahan 1-3 pada aksi separuh akhir pertama di Kuantan, Sabtu lalu, sekali gus memastikan slot final milik mereka.

Menurut Alberts, barisan Bujang Senang dituntut bekerja keras untuk menjaringkan gol awal, seterusnya memberi tonik tambahan kepada mereka untuk memadam defisit dua gol yang dibawa Pahang.

"Saya menyedari betapa jentera serangan Sarawak harus diperkemaskan sele- pas gagal menyerlah pada aksi separuh akhir pertama.

"Kami memiliki gandingan penyerang terbaik tetapi saya mahu mereka bekerja keras dan menjaringkan gol dalam setiap perlawanan.

"Tugas Muamer Salibasic dan Bobby Gonzales esok (malam ini) ialah mencari peluang untuk memperoleh gol, bukannya bertahan.

"Memang kedua-dua pemain itu perlu bertahan dengan baik tetapi mereka juga harus menjaringkan gol kerana mereka antara penyerang terbaik," jelas Alberts ketika ditemui di Kuching semalam.

Alberts menambah, beraksi di hadapan 22,000 penyokong sendiri dengan menggalas harapan mara ke final diakui mendatangkan tekanan kepada Sarawak.

"Bola sepak sendiri adalah tentang tekanan. Saya percaya jika tertekan, pemain saya akan bermain lebih bagus.

"Jadi, kini terpulang kepada mereka untuk memanfaatkan tekanan yang dirasai itu bagi mempamerkan aksi terbaik," katanya.

Alberts turut melahirkan keyakinan terhadap keupayaan kesebelasan utama Sarawak yang diturunkan sebelum ini.

Katanya, beliau hanya akan membuat beberapa perubahan kecil dari segi posisi bagi memantapkan jentera serangan dan memperkukuhkan benteng pertahanan.

"Joseph Kalang Tie sudah boleh diturunkan. Ronny Harun juga sudah pulih daripada kecederaan. Bagaimanapun, Ramesh Lai dan Junior Edstal mengalami sedikit kecederaan.

"Kita tengok dan teliti dulu prestasi mereka. Dalam bola sepak, memilih kesebelasan utama dan pemain gantian amat penting untuk berdepan 90 minit perlawanan serta masa tambahan," katanya.