Koleksi Sensasi

Siti Jangka Tok Gajah Mengamuk, Menang 3-1


Tok Gajah mengamuk. Begitulah gurauan penyanyi No. 1 negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin \

Sebagai anak kelahiran Pahang Darul Makmur, Siti Nurhaliza meluahkan kegembiraan apabila ditanya pasukan manakah yang bakal memenangi Piala Malaysia 2013, Ahad ini.

Kegembiraan melihat pasukan negeri kelahirannya berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia amat dinanti-nantikannya.

Jelas Siti Nurhaliza, beliau meminati sukan bola sepak kerana ia menggabungkan pelbagai elemen berbeza menjadi satu.

“Saya memang meminati sukan bola sepak sejak di bangku sekolah lagi kerana ia menggabungkan elemen fizikal, kemahiran koordinasi dan juga kerja berpasukan.

“Selepas kali terakhir memenangi Piala Malaysia 21 tahun lalu, kini Pahang masuk ke peringkat akhir sekali lagi," katanya selepas majlis pelancaran produk CocoBelle dan Fastarck Tasty Energy Chocolate Bar dekat Bora Ombak di sini, semalam.

Menurut Siti Nurhaliza, beliau, suami dan anak-anak akan ke Stadium Shah Alam, bagi menyaksikan perlawanan tersebut.

“Seronok tak terkata bila Pahang layak ke final. Jadual saya Ahad ini pun tak sibuk sebab Sabtu saya hanya mengajar peserta Akademi Fantasia (AF) dan Ahad saya bersama keluarga boleh pergi menonton perlawanan bola sepak.

“Biarpun ini kali pertama saya menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium saya jangka Pahang akan menang 3-1, insya-Allah," ujarnya.

Ketika ditanya siapakah pemain kegemaran beliau dalam skuad Tok Gajah, Siti Nurhaliza berkata, sudah tentu penyerang Pahang, Mohd. Azamuddin Akil yang turut berasal dari Kuala Lipis.

“Saya percaya prestasi cemerlang Pahang akan berterusan biarpun bertemu The Red Warriors. Insya-Allah skuad Tok Gajah akan meraih kemenangan.

“Selain itu, saya harap perlawanan ini diterapkan semangat kesukanan bukan permusuhan," jelasnya lagi.