Koleksi Sensasi

Suami Minta Henti Sebar Gambar Kematian Norazita


Suami kepada pegawai Ambank, Norazita Abu Talib, yang ditembak mati dalam kes rompak dan bunuh semalam, meminta semua pihak memadam dan menghentikan sebaran gambar dan video kematian isterinya demi menghormati sensitiviti keluarga.

Irwan Kamarudin, 37, berkata penyebaran gambar itu akan lebih menyedihkan keluarga kerana gambar itu memperlihatkan keadaan tidak elok mangsa.

"Saya harap semua dapat memadamkan gambar dan video insiden kematian isteri saya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini selepas pengebumian isterinya di kampung halaman Allahyarham di Kampung Air Hitam Labu, Kampar, Perak.

Norazita, 37, ditembak di muka oleh seorang pengawal keselamatan bank itu sendiri selepas Norazita membuka pintu bilik kebal bank itu di Jalan USJ Central 2, Subang Jaya, semalam.

Susulan kejadian, gambar dan rakaman video selama 32 saat tentang kejadian itu tersebar dalam laman Facebook hari ini.

Pagi ini, Irwan bersama dua anaknya, Nurnisa Nabilah, 12, Muhd Hazimy, 8, serta saudara maranya hadir di Bilik Mayat Hospital Serdang untuk pengecaman mayat isterinya.

Suasana pilu menyelubungi bilik mayat itu dengan Irwan cuba ditenangkan anggota keluarganya sambil menangis setelah beliau membuat pengecaman jenazah isterinya.

Malah mereka menunggu sehingga 2 petang sehingga laporan bedah siasat selesai dijalankan dan menuntut jenazah untuk dikebumikan.

Nurnisa Nabilah berkata, kebiasaannya ibunya akan menghantar dia dan adiknya ke sekolah namun semalam, disebabkan kesibukan kerja, ayahnya terpaksa menghantar mereka ke Sekolah Kebangsaan Subang Bestari, Subang, di sini.

"Dalam 7.30 malam saya terima panggilan dari mak saudara cakap mama dah tiada," katanya.

Sementara itu, pengurus bank berkenaan Lyonel Tan berkata kejadian ini pertama kali berlaku di bank berkenaan.

"Arwah merupakan seorang pekerja yang rajin dan bertanggungjawab dalam melaksanakan urusan penting seperti khidmat pelanggan," katanya. 

Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Norazita. 

"Bagi pihak Kumpulan AmBank, kami ingin merakamkan ucapan takziah, doa dan ingatan kali buat keluarga Allahyarham di saat yang begitu sukar ini," katanya menerusi satu kenyataan. 

Kumpulan AmBank bekerjasama rapat dengan polis dalam siasatan kejadian itu dan menyalurkan segala bantuan yang diperlukan kepada anggota keluarga Allahyarham.

Di KAMPAR, jenazah Norazita selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Ayer Hitam Labu di sini pada pukul 7.30 malam ini.

Jenazah dibawa pulang ke rumah keluarganya kira-kira pukul 6.55 petang dari Hospital Serdang, Selangor sebelum dikebumikan bagi memberi peluang anggota keluarga, rakan-rakan dan penduduk kampung menziarahi jenazah.

Bapa Allahyarham, Abu Talib Mohd Isa, 75, yang ditemui di rumahnya berkata beliau dan keluarga reda dengan pemergian anak keduanya itu.

"Kali terakhir kami jumpanya pada hari raya korban lepas. Dia juga sempat jumpa adik beradik dan saudara mara," katanya yang mempunyai lima anak.

Ditanya mengenai dua anak Norazita, Abu Talib berkata isterinya Norsham Abdul Kader, 63, akan berada di rumah anaknya di Kuala Lumpur untuk menjaga cucu mereka sehingga hujung tahun ini.

Mengenai tindakan yang akan diambil berhubung pembunuhan anaknya itu, Abu Talib menyerahkan kepada polis untuk menyiasat.

"Kita sepatutnya mempunyai sifat seperti manusia lah. Kalau nak rompak, rompak jer lah duit. Tapi jangan lah sampai membunuh," katanya. - Bernama


'Abang masih sayang saya?'

SERDANG - Panggilan singkat Norazita yang beria-ia benar hendak tahu sejauh mana kasih suaminya, rupanya petanda ajal wanita itu hendak pergi buat selama-lamanya.

Suaminya, Irwan Kamarudin, 37, sama sekali tidak menyangka itulah panggilan terakhir dan paling singkat daripada isteri tersayang.

“Abang masih sayang saya?” Begitu pertanyaan Norazita dan berkali-kali dia mengulang soalan itu menerusi panggilan telefon kepada suaminya sekitar jam 5 petang, kira-kira sejam sebelum dia ditembak mati oleh perompak.

"Kemudian saya jawab, 'abang sayang awak seperti kita mula berkahwin dulu. Tidak pernah berubah kasih sayang abang pada awak," ucap Irwan dalam nada suara menahan sebak.

Dalam kejadian sekitar 6.20 petang kelmarin, isterinya, Norazita Abu Talib, 37, mati tragis ditembak perompak dalam kejadian rompakan di bank tempatnya bekerja.

"Tetapi saya tidak boleh bercakap lama dengan isteri saya, kerana waktu itu saya sedang bekerja," luah Irwan yang bekerja sebagai pemandu peribadi di sebuah syarikat di Bukit Jelutong.

Sambungnya, sekitar 6.20 petang, dia beberapa kali menghubungi Norazita  untuk bertanya sama ada isterinya itu sudah pulang ke rumah ataupun belum tetapi panggilan  tidak berjawab namun pada ketika itu dia tidak mengesyaki sebarang perkara buruk sehinggalah seorang pengurus bank menjawab panggilan itu dan memintanya segera datang ke bank tersebut.

"Saya tanya dia apa yang berlaku tapi dia tidak jawab soalan saya, cuma suruh saya datang ke sana. Beberapa minit kemudian, seorang kawan beritahu saya yang dia mendengar ada rompakan di bank isteri saya bekerja, menerusi laman sosial Facebook.

"Ya ALLAH, ketika itulah hati saya mula terdetik memikirkan sesuatu dan menjadi tidak tenteram," katanya.

Sehinggalah pada waktu dia sampai, dia begitu terkejut setelah melihat ramai polis di tempat kejadian dan polis tidak membenarkannya masuk ke dalam bank itu.

Jantungnya berdebar dan katanya, dia bertanyakan keadaan isterinya tetapi polis mengatakan isterinya berada dalam keadaan baik.

“Pada awalnya, seorang anggota polis memberitahu, isteri saya baik saja, tetapi kira-kira 9 malam, salah seorang anggota polis beritahu  yang isteri saya sudah tiada lagi (mati ditembak).

"Pada saat mendengar berita itu, hati saya bagaikan hancur. Sedih dan pilu berpadu," luah Irwan dan ini bermakna panggilan singkat sejam sebelum kejadian itulah kali terakhir dia mendengar suara Norazita.

Irwan  benar-benar tidak menyangka  nasib malang menimpa Norazita sedemikian rupa kerana isterinya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku sebelum ajal, dan kesedihan apalagi yang boleh diceritakan saat mendengar khabar, isterinya telah mati ditembak.

Menceritakan kisah isterinya itu, Irwan berkata, Norazita memang seorang yang agak pendiam, namun sangat baik hati dengan orang lain dan tidak menyangka Norazita terkorban secara kejam di tangan perompak.

Menurutnya, dia sudah 13 tahun mendirikan rumah tangga bersama arwah dan dikurniakan dua cahaya mata bernama Nurnisa Nabilah, 12, dan Muhd Hazimy, 8.

“Arwah akan dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Air Itam Labu, Kampar pada hari ini (semalam),” katanya di Jabatan Forensik, Hospital Serdang, semalam.

Sementara itu, berkongsi sedih dengan ayahnya, anak sulung arwah, Nurnisa Nabilah berkata dia telah kehilangan ibu yang selama ini menjadi tempat bermanja.

“Walaupun ibu seorang yang garang, tapi dia sangat sayangkan saya dan Hazimy.

"Sekarang mak dah tak ada,” kata kanak-kanak itu dalam nada sayu.  

Dalam kejadian kelmarin, Norazita yang bekerja sebagai pegawai bank di Ambank USJ, ditembak mati oleh perompak yang juga pengawal keselamatan di bank yang sama.

Seisi rakyat Malaysia turut  merasai kekejaman  yang berlaku terhadap wanita itu apabila perompak berkenaan tergamak menembaknya tanpa sebab sedangkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Norazita langsung tidak melawan.

Lebih mengerikan kerana insiden tembak itu dimuat naik menerusi laman sosial Facebook  yang memaparkan Norazita ditembak pada muka hingga menyebabkan separuh dan otaknya hancur.


Dalam pada itu, perompak kejam tersebut berjaya lari dengan membawa wang rompakan itu dan kini polis sedang memburu pembunuh Norazita. Al Fatihah.