Koleksi Sensasi

Tiga Juta Pekerja Seluruh Indonesia Mogok Esok

Jakarta: Kira-kira tiga juta pekerja di 20 wilayah seluruh Indonesia akan menyertai mogok umum Khamis dan Jumaat ini bagi memberi sokongan terhadap tuntutan meningkatkan kebajikan mereka.

Presiden Persekutuan Kesatuan Pekerja Indonesia Said Iqbal dalam satu kenyataan berkata, ratusan ribu syarikat di 40 wilayah perindustrian akan menghentikan pengeluaran ketika mogok itu diadakan. 

“Tiada motif politik dalam mogok ini. Kesatuan sekerja semata-mata mahu memperjuangkan kebajikan pekerja,” katanya. 

Menurutnya, kesatuan menuntut kenaikan gaji sebanyak 50 peratus.

Di Jakarta, mereka mendesak supaya gaji minum ditetapkan pada Rp3.7 juta (RM1,000).

Selain gaji, pekerja juga menuntut supaya mereka diberi perlindungan insurans menjelang 1 Januari 2014. 

Pekerja di Jakarta melancarkan rapat umum Isnin lalu dan semalam, mereka mengadakan tunjuk perasaan di depan Dewan Bandar Raya Jakarta. 

Menurut pegawai kanan kesatuan, meskipun mogok umum dilancarkan di seluruh negara itu ia tidak akan menjadi ganas, ia bagaimanapun akan melumpuhkan trafik di Jakarta. - AFP