Koleksi Sensasi

'Zahid Lebih Teruk Dari Dr Mahathir'

Tingkah laku ahli politik terhadap pemberita bertambah buruk dalam beberapa dekad kebelakangan ini, kata bekas wartawan veteran Peter Kandiah.

Bekas wartawan The Star itu berkata, walaupun pada era 80-an terdapat akhbar yang ditutup, ahli politik tidak pernah secara terbuka memalukan atau memarahi pemberita.

ahmad zahid warn malaysiakini 041013"Malah di zaman (bekas perdana menteri) Dr Mahathir Mohamad juga tidak begitu buruk. Beliau suka menegur orang, tetapi bukan dengan cara begitu. 

"Beliau memang sarkastik kepada media asing, tetapi beliau tidak mendabik dada," katanya.

Bagaimanapun, sudah tentu Dr Mahathir mempunyai cara lain, seperti menggunakan setiausaha akhbarnya, tambahnya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi pada Jumaat lalu membuat kecaman terhadap Malaysiakini yang didakwanya "memutarbelitkan" cakapnya dan mendatangi wartawan Lawrence Yong selepas sidang akhbar itu.

Dalam kenyataannya, Malaysiakini meminta Zahid supaya menghentikan cubaan untuk menakut-nakutkan wartawan dari portal berita bebas itu. 

Bercakap kepada Malaysiakini, Kandiah berkata, seperti Mahathir, bekas menteri perindustrian dan perdagangan antarabangsa Tan Sri Rafizah Aziz juga tidak pernah berperlakuan seperti Zahid.

Kandiah menyifatkan perbuatan itu sebagai "seperti orang gila dan sakit".

Beliau sekarang terlibat dengan Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia. Beliau pernah menjadi setiausaha agung Kesatuan Wartawan Kebangsaan pada 1987, ketika tiga akhbar ditutup.

Selepas meninggalkan The Star, Kandiah berkhidmat dengan penerbitan antarabangsa Nikkei Business Publication dan The Economist sebagai penyumbang Asia Tenggara.