Koleksi Sensasi

1,000 Penyokong Pahang Sambut Piala Malaysia


Kepulangan skuad Pahang bersama Piala Malaysia disambut meriah oleh kira-kira 1,000 penyokong yang berkumpul di Stadium Darul Makmur di Kuantan.
   
Rata-rata penyokong skuad Tok Gajah itu berbangga dengan barisan pemain yang berjuang mendapatkan kembali piala tersebut selepas 21 tahun menanti.

R Rajen, 47, berkata, dia bersama rakan-rakannya telah menanti kepulangan rombongan pemain itu di lokasi tersebut sejak 2 petang tadi.
   
"Saya amat berbangga dengan pencapaian Pahang kali ini setelah lebih 20 tahun kita menanti untuk membawa pulang piala yang paling berprestij ini," katanya kepada Bernama di sini malam ini.
   
Beliau turut terharu dengan komitmen yang ditunjukkan oleh dua pemain, R.Gopinathan dan R. Surenderan yang sanggup mengorbankan perayaan Deepavali demi kejayaan pasukan.
   
Seorang lagi peminat, Erwan Mat Lazim, 35, yang menyaksikan perlawanan akhir menentang Kelantan di Stadium Shah Alam malam tadi sanggup tidak pulang ke rumah semata-mata untuk menyambut pasukan Pahang di stadium berkenaan.
   
Katanya, dia belum sempat pulang ke rumah kerana bergegas ke Stadium Darul Makmur sebaik mendengar berita mengenai sambutan oleh penyokong Pahang di situ.
   
"Saya sangat teruja untuk menyaksikan pemain Pahang dengan lebih dekat membuatkan saya tidak pulang ke rumah dan datang ke sini jam 5 petang tadi," katanya.
   
Bas rombongan yang membawa pemain Pahang tiba di Stadium Darul Makmur pada 7.30 malam ini dengan diarak kira-kira 30 buah motosikal berkuasa besar dari Shah Alam.
   
Pemain kemudian disambut dengan sorakan pelbagai lapisan penyokong di hadapan stadium itu dengan menjulang trofi Piala Malaysia sambil berarak masuk ke dalam stadium.
   
Peluang itu kemudian dimanfaatkan sepenuhnya oleh penyokong yang mengambil masa kira-kira sejam untuk bertemu dengan pemain sambil mengambil gambar dan bertegur sapa.
   
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan Pahang Datuk Mohd Johari Hussain menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama memaklumkan satu majlis kemenangan Pahang itu akan diadakan secara rasmi di Stadium Darul Makmur Jumaat ini.
   
Katanya selain konsert, perlawanan bola sepak persahabatan antara pemain pilihan Pahang akan diadakan bagi memeriahkan lagi acara tersebut. - Bernama