Koleksi Sensasi

Ahli Perniagaan Wanita Maut Ditikam



Seorang ahli perniagaan wanita meninggal dunia akibat ditikam di dada menggunakan senjata tajam di Apartment Bukit Permata, Lumut di Seri Manjung semalam. 
    
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Jaafar Baba berkata Nariza Mustapha, 32, disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Hospital Seri Manjung pada pukul 10.45 pagi.
    
Sebelum itu, ibu kepada dua anak itu ditemui terbaring di dalam bilik tidurnya di apartment itu dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada pukul 7.30 pagi, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung hari ini.
    
Beliau berkata laporan bedah siasat menunjukkan mangsa maut akibat pendarahan yang banyak selepas berlakunya tikaman di bahagian dada.

"Siasatan awal polis turut menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk maklumat terperinci," katanya.
    
Jaafar berkata susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai teman lelaki mangsa untuk membantu siasatan. Lelaki yang merupakan anggota pasukan beruniform itu ditahan reman sehingga 7 Nov.
    
"Mayat Nariza telah dituntut oleh waris dan dibawa pulang ke Rantau Panjang, Kelantan untuk urusan pengebumian," katanya.