Koleksi Sensasi

Amirul Hadi Milik Pahang Atau JDT?


Kedudukan bekas pemain kebangsaan, Mohd. Amirulhadi Zainal terus menjadi tanda tanya.

Meskipun terdapat laporan Mohd. Amirul telah menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun bersama Pahang, namun menurut Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), pemain kelahiran Melaka itu masih berhasrat untuk beraksi bersama Johor Darul Takzim (Johor DT) musim hadapan.

Jelas Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim, Mohd. Amirulhadi mendakwa dia masih belum menandatangani mana-mana kontrak lanjutan bersama Pahang.

"Saya tidak tahu apa status Mohd. Amirul ketika ini. Pahang mendakwa Mohd. Amirulhadi sudah menandatangani kontrak lanjutan bersama mereka namun (Amirul) memberitahu saya dia masih belum tandatangan mana-mana kontrak.

"Setahu saya, dia dan keluarganya memang berhasrat untuk datang ke Johor," kata Tunku Ismail pada sidang akhbar di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah meminta PBNJ melupakan hasrat untuk mendapatkan khidmat Mohd. Amirulhadi kerana pemain tengah terbabit telah menandatangani kontrak lanjutan bersama skuad Tok Gajah, dua bulan lepas.

Begitupun menurut Tunku Ismail, dia akan tetap hormati apa juga keputusan Mohd. Amirulhadi sama ada ingin menyertai Johor DT atau mahu terus bersama Pahang.

"Kalau sudah sah kekal bersama Pahang, saya hormati keputusan dia dan saya ucapkan selamat berjaya untuk dia dan pasukan Pahang," katanya.

Dalam pada itu, Tunku Ismail mendedahkan, pasukan Liga Premier Johor akan mula dikenali sebagai pasukan Johor Darul Takzim II (Johor DT II) bermula musim hadapan.

"Kita ada dua pasukan di bawah naungan PBNJ iaitu Johor DT dan Johor DT II. Kami telah menyerahkan permohonan ini kepada Suruhanjaya Sukan.

"Pasukan Johor DT II merupakan pasukan sokongan buat pasukan utama dan ia terdiri daripada majoriti pemain-pemain muda," katanya.

Jelas Tunku Ismail, tugas jurulatih Johor DT II untuk musim hadapan akan kembali digalas Azmi Mohamed.