Koleksi Sensasi

Bunting BN Didakwa Kelirukan Pengundi


YAN - Pas Kedah mendakwa bunting yang digunakan BN untuk memperkenalkan calon parti itu bagi PRK Dun Sungai Limau mengelirukan.

Pesuruhjayanya, Datuk Mahfuz Omar berkata, perkara itu berlaku kerana pengundi Dun Sungai Limau mungkin terpengaruh atau tertipu kononnya yang bertanding itu adalah Datuk Mukhriz Mahathir, yang merupakan Menteri Besar Kedah, bukan calon BN.

Sehubungan itu, Mahfuz meminta supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan siapa 'calon BN' yang bertanding di Dun Sungai Limau.

“Saya nak SPR beri penjelasan siapakah yang bertanding, adakah Mukhriz ataupun Dr Ahmad Sohami Lazim?

“Apakah untuk mendapatkan populariti kononnya seolah-olah Mukhriz lebih popular berbanding calon BN yang tidak popular. Jadi, untuk menawan hati dan pemikiran pengundi-pengundi, maka digunakan gambar Mukhriz seolah-olah calon yang bertanding di Dun Sungai Limau adalah Mukhriz,” katanya.

Sementara itu, SPR menegaskan tiada halangan bagi mana-mana parti politik untuk meletakkan gambar pemimpin parti selain dari gambar calon yang bertanding.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, perkara tersebut sudahpun dijelaskan, dibincangkan dan dipersetujui pada PRU13 dengan semua parti politik yang bertanding.
“Dasar SPR benarkan gambar pemimpin seperti PM, MB, pemimpin utama Pas seperti Datuk Nik Aziz Nik Mat, Datuk Seri Hadi Awang (Presiden Pas).

“Saya harap Datuk Mahfuz tidak perlu bangkitkan isu ini. Tiada yang mengelirukan. Pas boleh letak gambar pemimpin mereka, gambar Datuk Mahfuz pun boleh,” katanya.