Koleksi Sensasi

Fauzi Nawawi Tangguh Tayang Filem 'Pak Pung'

Pelakon dan pengarah filem Fauzi Nawawi terpaksa menunda tayangan filem pertamanya berjudul Pak Pung pada tahun hadapan kerana bimbang ia gagal mendapat sambutan daripada penonton.

Fauzi, 40, berkata, keputusan itu dibuat kerana pasaran filem tempatan yang agak lembap ketika ini dan tidak mahu mengambil risiko untuk menayangkan filem itu.

Filem yang menelan kos sebanyak RM2 juta terbitan 9 Country Sdn Bhd itu menampilkan barisan pelakon seperti Izreen Azmidar, Siti Saleha, Marsha Milan Londoh, Syawal, Jasmin Hamid, Datuk Eizlan Yusof, Saiful Apek, Lisdawati selain penampilan istimewa model popular, Amber Chia.

Dalam perkembangan sama, Fauzi berkata, dia lebih berhati-hati agar filem berkenaan tidak tersebar di Internet seperti mana berlaku kepada KL Gangster 2 selain memastikan salinan asal filem itu sentiasa ada padanya.

Jelas Fauzi, kejadian yang menimpa karya arahan Syamsul Yusof itu memberikan pengajaran kepada pembikin filem baharu sepertinya untuk lebih berhati-hati.