Koleksi Sensasi

Jamal Abdillah Bakal Merisik Nas Adila?

Penyanyi Nas Adila menyerahkan kepada Datuk Jamal Abdillah bagi menjelaskan kepada umum tentang status sebenar hubungan mereka serta desas-desus kononnya dia bakal dirisik.

Nas, 27, berkata, adalah tidak manis baginya untuk bercakap mengenai perkara itu kerana dia bimbang akan dipandang serong oleh sesetengah pihak.

Nas mengulas mengenai laporan akhbar yang mendedahkan Jamal berhasrat untuk memperisterikannya dan rombongan merisik bakal berlangsung dalam waktu terdekat ini.

Dalam perkembangan sama, Nas tidak menafikan hubungan mereka semakin rapat sejak penyanyi terkenal itu mengundangnya bersama-sama menjayakan 'Konsert Ekstravaganza Jamal Abdillah - P. Ramlee Dalam Kenangan’ di Istana Budaya pada 30 Mei hingga 2 Jun lalu.

Jelas Nas, sejak itu dia sering di undang untuk mengadakan persembahan bersama Jamal selain selesa berkawan dengan lelaki berusia 54 tahun itu.

Dalam pada itu, Nas berkata, laporan yang mengatakan dia memutuskan hubungan dengan penyanyi Aliff (AF) adalah tidak benar kerana keputusan untuk berpisah dibuat secara bersama.

Jelas Nas, hubungan mereka masih baik selain menganggap mereka sudah tiada jodoh.

Sementara itu, Jamal menerusi pembantu peribadinya meminta sedikit masa untuk menjelaskan mengenai khabar angin mengenai majlis merisik yang akan diadakan itu.