Koleksi Sensasi

Kawan Khianat Amy (Search) Sehingga Muflis


Sekian lama berdiam diri selepas dikatakan muflis, vokalis kumpulan Search iaitu Amy akhirnya mengaku mengenai kontroversi itu selain mendedahkan dia telah dianiaya oleh sahabat sendiri.

Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman, 55, bagaimanapun enggan mengulas berhubung perkara tersebut dan hanya akan berbuat demikian apabila kes berkenaan dibawa ke mahkamah.

Amy sebelum ini dipercayai gagal untuk menyelesaikan sejumlah hutang yang dipinjamnya bagi menjayakan konsert jelajah Di Awan Biru sekitar 2009.

Perkara tersebut telah dibawa ke mahkamah dan keputusan yang dikeluarkan telah menyebabkan Amy isytihar sebagai muflis.

Jelas Amy, sebelum ini dia berdiam diri dan mengelak daripada berbicara mengenai perkara itu kerana enggan isu tersebut menjadi kecoh sehingga timbulnya fitnah.

Sementara itu, Amy berkata, walaupun pada mulanya dia sukar untuk menerima kenyataan bahawa dia telah muflis dan dikhianati oleh sahabatnya sendiri namun dia menyedari ia adalah satu dugaan.

Jelas Amy, dia tetap menjalani kehidupannya seperti biasa dan yakin ada hikmah di sebalik kejadian itu.

Malah kata Amy, dia sudah memaafkan orang yang mengkhianatinya dan berharap individu tersebut akan memperbetulkan kembali keadaan.