Koleksi Sensasi

Kontrak K Rajagobal Tidak Disambung


Segala persoalan mengenai kedudukan Datuk K Rajagobal akhirnya terjawab apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat keputusan tidak akan menyambung kontrak pengendali itu yang berakhir pada 31 Disember ini.

Keputusan yang dicapai menerusi Mesyuarat Exco FAM dipengerusikan Presiden Sultan Ahmad Shah itu menyaksikan jurulatih Harimau Muda Datuk Ong Kim Swee dilantik sebagai pengendali sementara skuad senior sementara mereka mendapat jurulatih baru. 

Ia bukan sesuatu yang mengejutkan apabila FAM tidak memberikan kontrak lanjutan kepada Rajagobal memandangkan beliau gagal mencapai misi untuk merebut dua slot automatik Kumpulan D ke pusingan akhir Piala Asia 2015 selain prestasi kurang memberangsangkan sepanjang tahun apabila Harimau Malaya hanya menang dua daripada 19 perlawanan. 

Pengurus pasukan kebangsaan Datuk Seri Subahan Kamal bagaimanapun hanya menyatakan keputusan FAM itu dibuat kerana mahu memberi peluang kepada jurulatih baru untuk membimbing Harimau Malaya.

Sebelum ini kedudukan Rajagobal menjadi persoalan apabila kontraknya tamat hujung tahun ini sedangkan skuad kebangsaan yang masih mengharapkan nasib untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015 sebagai pasukan ketiga terbaik keseluruhan kempen kelayakan masih mempunyai perlawanan terakhir dengan Yaman pada Mac depan. 

Menurut Subahan yang juga Naib Presiden FAM, kontrak Kim Swee sebagai jurulatih skuad bawah 23 tahun negara yang tamat hujung bulan depan bakal dilanjutkan namun tempoh kontrak itu belum diputuskan. 

Rajagobal, 57, dianggap antara jurulatih tempatan paling berjaya apabila membantu negara memenangi pingat emas Sukan SEA Laos 2009 dan Piala AFF 2010 namun pendekatannya yang suka melakukan eksperimen dan menggunakan pemain yang sama mengundang rasa kurang senang pemerhati dan peminat bola sepak tanah air. 

Beliau yang dihubungi bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai keputusan majikannya itu. 

Selain Kim Swee, antara nama yang hangat diperkatakan untuk mengisi tempat itu adalah bekas jurulatih Jepun, Phillippe Troussier, bekas kapten skuad juara Piala Dunia 1998 Perancis, Marcel Desailly, bekas jurulatih Singapura Radojko Avramovic dan jurulatih Pahang yang dikaitkan perpindahan ke PDRM, Dollah Salleh.