Koleksi Sensasi

Kontraktor Malaysia Guna Pelacur Beli Maklumat Tentera


Ia bermula dengan undangan ke pementasan Broadway, The Lion Kong di Tokyo untuk seorang komander tentera laut Amerika Syarikat(AS), isterinya dan anak-anak mereka.

Seterusnya, kontraktor pertahanan Malaysia yang dikenali dalam kalangan kelompok pegawai tentera sebagai "Leonard Gemuk" akan menggunakan pelacur, tiket penerbangan dan habuan lain sebagai umpan.

Taktik itu bagi menjerat pegawai tentera laut AS berkenaan ke dalam komplot mengenakan caj berlebihan mencecah jutaan dolar ke atas Pentagon untuk menguntungkan syarikat milik Leonard Gemuk atau nama sebenarnya, Leonard Francis.ko

Pertuduhan itu yang dikemukakan di sebuah mahkamah persekutuan di sini bakal membongkar skandal rasuah melibatkan lebih ramai pegawai tinggi tentera di Pentagon.

Sebutan kes dijadual pada Jumaat ini bagi menetapkan tarikh perbicaraan.

Menurut kertas pertuduhan, Komander Tentera Laut, Michael Vannak Khem Misiewicz menyerahkan maklumat sulit laluan kapal-kapal perang kepada Syarikat Glenn Defense Marine Asia Ltd. milik Francis di Singapura.

Misiewicz dan Francis menggerakkan kapal-kapal tentera AS seperti bidak catur dengan mengalih laluan kapal induk kapal pemusnah dan kapal-kapal lain supaya singgah di beberapa pelabuhan di Asia.

Francis yang berpengaruh di pelabuhan-pelabuhan tersebut akan meningkatkan caj sehingga beberapa juta dolar ke atas Tentera Laut AS untuk kos bahan api, makanan dan perkhidmatan lain yang dibekalkan oleh syarikatnya.

"Skandal ini besar apabila melibatkan seorang pegawai kanan yang boleh mengarahkan lokasi persinggahan kapal-kapal dan beliau dipengaruhi seorang kontraktor (Leonard Gemuk)," kata Laksamana Muda (bersara) Terry McKnight.

Setakat ini, pihak berkuasa AS telah menangkap Misiewicz, Francis dan pengurus besar syarikatnya untuk kontrak global, Alex Wisidagama serta seorang penyiasat kanan Tentera Laut, John Beliveau II.

Beliveau didakwa membocorkan maklumat siasatan kes itu kepada Francis.

Semua tertuduh mengaku tidak bersalah berhubung dakwaan ke atas mereka.

Beberapa pegawai Tentera Laut berkata, mereka percaya bahawa lebih ramai orang akan disabitkan dalam skandal rasuah tersebut.

Setakat ini, kertas pertuduhan tersebut menyebut beberapa pegawai Tentera Laut tanpa menamakan mereka, sebagai menerima hadiah daripada Francis.

Menurut McKnight, Francis popular dalam kalangan pegawai tentera di Asia Tenggara.

Dia dikenali kerana mewah berbelanja. Sebuah banglo miliknya di kawasan perumahan elit di Singapura menjadi tumpuan pada setiap tahun sejak 2007.

Kediaman tersebut menampilkan hiasan mewah setanding dengan dekorasi pusat-pusat beli belah mewah di pulau tersebut setiap kali menjelang Krismas.

"Anda berbual dengan kapten mana-mana kapal yang berlayar di rantau Pasifik dan mereka pastinya kenal siapa Leonard Gemuk," kata McKnight.

Dalam perkembangan berkaitan, Jurucakap Tentera Laut, Laksamana Muda, John Kirby berkata, Perkhidmatan Siasatan Jenayah Tentera Laut mula menyiasat kes tersebut pada 2010 tetapi beliau enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, menurut kertas pertuduhan sama, keluarga Misiewicz keluar menonton produksi Lion King di Tokyo dan seterusnya ditawarkan khidmat pelacur.

Beberapa bulan kemudian, komander Tentera Laut itu didapati membekalkan jadual laluan untuk armada perang USS George Washington dan kapal-kapal lain.

Sejurus selepas itu, Wisidagama menulis kepada Francis: "Kita dah dapat lehernya (Misiewicz)," menurut kertas pertuduhan di mahkamah.

Misiewicz akan merujuk kepada Francis sebagai "Abang Besar" dalam e-mel sebuah akaun peribadi manakala Francis memanggilnya "Adik".

Pendakwa raya AS, Laura Duffy berkata, di Thailand sahaja, syarikat Francis mengenakan caj sebanyak AS$10 juta (RM31.7 juta) ke atas Tentera Laut AS untuk tempoh setahun.

Pada Disember 2011, mereka bertukar-tukar e-mel mengenai jadual kapal perang USS Blue Ridge.

Pada Oktober 2012, kapal induk USS George Washington dijadual melawat Singapura tetapi laluannya dialihkan ke Pelabuhan Klang. . Francis memilih pelabuhan tersebut kerana lebih mudah untuknya mengenakan caj tinggi ke atas Tentera Laut AS.

Selepas itu, dia menawarkan lima tiket untuk konsert Lady Gaga di Thailand kepada Misiewicz.

Kerajaan Persekutuan AS telah membatalkan kontrak pertahanannya dengan Francis.

Semua tertuduh berdepan hukuman penjara hingga lima tahun jika didapati bersalah kerana berkomplot untuk melakukan rasuah. - AP