Koleksi Sensasi

Majid Terima Hadiah Kasut


Seorang anak jati Pahang, Norman Jalil, 37 sanggup berulang–alik dari Seremban ke Temerloh sejak dua hari lalu semata-mata mencari Abdul Majid Abdul Hamid, 57 yang kini dalam misi melunaskan nazarnya berjalan kaki dari Masjid Sultan Ahmad Shah, Kuantan ke Stadium Shah Alam.

Norman yang kini bertugas di Seremban berhasrat untuk menghadiahkan sepasang kasut  kepada penyokong tegar pasukan Tok Gajah itu sebagai menghargai semangatnya yang yang  sanggup berjalan kaki lebih 200 kilometer setelah pasukan bola sepak
Pahang memenangi Piala Malaysia baru-baru ini.

Pencariannya berhasil apabila dia terserempak dengan Abdul Majid di hentian rehat Genting Sempah kira-kira jam  7.30 petang kelmarin dan menyerahkan kasut kepada lelaki itu supaya perjalanan seterusnya lebih selesa.

Norman berkata, dia bangga dan kagum melihat semangat Abdul Majid yang sanggup berjalan kaki hanya berselipar bagi menamatkan misi nazarnya demi negeri Pahang.

“Sebagai anak Pahang,  saya juga bangga dengan kejayaan Tok Gajah dan hadiah kasut ini adalah sumbangan ikhlas sebagai simbol menghargai semangat beliau,” katanya.