Koleksi Sensasi

MTUC Sambut Baik Pengambilan Pembantu Rumah Dari Kemboja


Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada Khamis menyambut baik keputusan kerajaan mengambil pembantu rumah dari Kemboja, sekali gus menamatkan moratorium selama dua tahun tentang perkara itu.

Setiausaha agungnya Abdul Halim Mansor berkata langkah itu akan menamatkan penglibatan ejen dan orang tengah serta menghapuskan yuran pengambilan pembantu rumah yang amat mahal iaitu kira-kira RM8,000 hingga RM12,000 seorang.

"Prosedur baharu ini akan memberi banyak kelegaaan kepada keluarga yang memerlukan pembantu rumah," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata oleh kerana Malaysia dan Kemboja mengambil inisiatif untuk memberi latihan menyeluruh kepada pembantu rumah, maka mereka perlu dibayar gaji minimum RM700 sebulan.

MTUC juga mencadangkan agar Akta Pekerjaan diguna pakai terhadap pembantu rumah kerana ia boleh memberi penyelesaian muktamad serta menyediakan perlindungan undang-undang kepada mereka. - BERNAMA