Koleksi Sensasi

Remaja 21 Tahun Jadi Wira Penyelamat Warga Emas, Kejadian Kebakaran Flat Kg Kerinchi


SEORANG remaja berusia 21 tahun menjadi wira dalam kejadian kebakaran Flat Kg Kerinchi hari ini apabila membawa turun seorang warga emas yang berkerusi roda menuruni tangga dari tingkat 14.
Rumah pangsa setinggi 17 tingkat berkenaan terbakar di tingkat paling atas dan turut merebak ke tingkat 16 mengkibatkan beberapa keluarga hilang tempat tinggal.
Shaifuddin Osman, 21 tahun, yang turut mendiami rumah pangsa itu bergegas naik ke tingkat 14 selepas mendapat tahu ada seorang warga emas keseorangan di tingkat itu ekoran anak menantunya terlupa untuk menyelamatkannya kerana panik.
Menurut remaja itu, dia bersama dua lagi rakan membantu mengangkat wanita itu Saodah Che Mat, 74 tahun (Gambar paling bawah), yang lumpuh akibat serangan angin ahmar enam tahun lalu.
Beliau yang agak emosi kemudian berkata, pihak bomba yang bertembung dengannya dalam perjalanan turun di dua tingkat berbeza enggan membantu beliau sebaliknya hanya memerhatikan sahaja mereka membawa turun warga emas itu.
“Saya dari tingkat 14, sampai di tingkat 12 bomba hanya lihat sahaja.. kemudian sampai di tingkat lapan.. bomba pun lihat sahaja.. Apabila tiba di tingkat empat barulah anggota bomba ingin membantu.
“Saya berasa sedih sangat, alang-alang dah sampai ke tingkat empat, kami terus sahaja membawa makcik turun ke bawah,” katanya berlinangan air mata.
Sementara itu, anak Saodah, Nor Hayati Ismail, 57 tahun pula berkata beliau menyedari kebakaran berlaku sebaik selesai menunaikan Solat Fardhu Asar di rumahnya.
“Saya baru selesai Solat Asar, lepas tu dengar bunyi bising.. Ingatkan ada orang nak terjun flat.. rupa-rupanya ada kebakaran.. Makcik pun terus turun.. tiba-tiba terlupa mak mertua ada di atas tinggal seorang,” katanya kepada wartawan.
Kebakaran berlaku kira-kira pukul 5.30 petang tadi, melibatkan enam unit rumah pangsa di tingkat 17 manakala unit di tingkat 16 turut terlibat.
Rumah Pengerusi Badan Pengurusan Bersama flat itu Zamri Mohamad Tenang, 58 tahun turut musnah di tingkat 16 dan semua dokumen penting hangus terbakar.
“Kebakaran dipercayai berlaku akibat penghuni rumah di tingkat 17 memasak di dalam bilik, mereka menduduki rumah itu ramai, jadi masak dalam bilik,” kata Zamri.
Tiada kecederaan atau pun mangsa yang terkorban dalam kejadian itu.
Turut hadir meninjau keadaan ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.