Koleksi Sensasi

Saintis Cipta Darah Palsu

Sekumpulan saintis di Romania mendakwa berjaya mencipta darah tiruan untuk digunakan manusia sedikit masa lagi, tanpa sebarang kesan sampingan.

Darah itu mengandungi air, garam dan protein yang dikenali hemerythrin yang diperoleh daripada cacing laut. 
Penyelidik dari Universiti Babes-Bolyai di Cluj-Napoca berharap ia dapat membantu mengatasi kekurangan bekalan darah dan menghalang jangkitan menerusi pendermaan darah. 

Dr Radu Silaghi-Dumitrescu berkata, ia juga mungkin boleh membawa kepada pembikinan ‘darah segera’ yang boleh diangkut dan diubah menjadi darah tiruan apabila dicampur dengan air.

Sehingga ini, usaha mencipta darah tiruan gagal apabila ia tidak berupaya menahan tekanan kimia dan mekanikal yang dilakukan ke atasnya.

Menurut Dumitrescu, tidak seperti hemoglobin, hemerythrin kekal stabil apabila terdedah kepada tekanan fizikal dan kimia. 

Setakat ini, darah tiruan itu sudah diuji ke atas tikus yang terbukti tidak menunjukkan kesan sampingan. - Agensi