Koleksi Sensasi

Sofi Jikan Nekad Tinggalkan Bidang Lakonan


Pelakon Sofi Jikan tetap mengotakan janjinya untuk meninggalkan bidang lakonan selepas patah hati dengan situasi industri perfileman di negara ini.

Sofi atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan, 43, berkata, dia kecewa apabila pelakon sepertinya masih lagi dipandang rendah dengan diberi watak stereotaip selain bayaran yang tidak setimpal dengan usahanya.

Dalam perkembangan sama, Sofi berkata, bukan mudah untuk dia membuat keputusan tersebut namun dia tidak dapat bersabar lagi dengan keadaan industri perfileman yang semakin hancur.

Pun begitu kata Sofi, dia hanya akan sudi berlakon kembali sekiranya jalan cerita dan watak ditawarkan mencabar kredibilitinya sebagai pelakon.

Jelas Sofi lagi, dia juga telah menubuhkan syarikat produksi sendiri iaitu 1Man Film Sdn Bhd dan berhasrat untuk menerbitkan karyanya sendiri selain mahu bergelar pengarah.

Mengulas mengenai lakonannya dalam filem Hantu Tok Mudim, Sofi berkata dia tertarik untuk berlakon dalam karya itu kerana peranannya sebagai Lebai Kulup sarat dengan elemen komedi dan romantik.

Jelas Sofi, walaupun ia watak antagonis namun korektornya berkembang sehingga dia berjaya mencari sisi lain dalam dirinya sebagai pelakon.

Dalam pada itu, Sofi berkata, walaupun tidak lagi berlakon namun selepas ini dia ingin bergiat aktif dalam bidang muzik sebagai penyanyi.

Malah katanya, dia telah pun merakamkan sebuah single bersama kumpulan Aisunam berjudul Madu dan yakin dapat diterima sebagai penyanyi.