Koleksi Sensasi

KDN Dedah 10 bukti Mat Sabu Terlibat Syiah


Kementerian Dalam Negeri hari ini mendedahkan 10 bukti orang nombor dua Pas terlibat dengan fahaman Syiah.

Dalam sidang media di pejabatnya hari ini, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi mendakwa, kenyataan tersebut dibuat berdasarkan beberapa bukti yang dikumpulkan pihak berkuasa daripada percakapan lisan, penulisan dan video di Internet.

Tambah beliau, antara bukti yang mengaitkan penglibatan pemimpin itu termasuklah menggesa supaya umat Islam mencontohi kepimpinan Islam berdasarkan cara Imam Khomeini.

“Bukti itu boleh dilihat melalui tulisannya bertajuk ‘Teladan Pemerintahan Nabi Yusuf, Khomeini’ dalam ruangan Fikrah terbitan lidah rasmi Pas, Harakah terbitan 5 hingga 15 Julai 2008,” katanya.
Beliau berkata, pemimpin tersebut turut secara terang-terangan memuji pemimpin Syiah Lubnan, Sayyid Hassan Nasrullah dan mengaku beliau serta isterinya bertemu dengan pemimpin Syiah berkenaan lebih daripada empat kali.

Sementara itu, Abdul Rahim turut mendedahkan, Tuan Guru Abd Rahim dari Sungai Jagung, Pendang, Kedah juga mengesahkan pemimpin itu merupakan salah seorang penganut Syiah apabila kerap kali melihatnya menunaikan solat dengan menggunakan sebiji batu kecil leper di tempat sujudnya.

Sementara itu, tambah Abdul Rahim lagi, antara perbuatan pemimpin berkenaan yang mencerminkan amalan ajaran Syiah adalah beliau juga dikatakan pernah melafazkan selawat sebagai mana yang diamalkan pengikut Syiah dalam satu ceramah Pas di Madrasah Diniah, Arau, Perlis pada 2005.

“Berdasarkan temuramah antara pegawai KDN, Ustaz Zamihan Mat Zin dengan Dr Abdul Aziz Hanafi pada 11 Disember lalu, Dr Hanafi mengesahkan beliau melafazkan selawat tersebut,” katanya.

Katanya lagi, berdasarkan maklumat yang diperolehi KDN, beliau didapati telah beberapa kali menghadiri kelas pengajian di sebuah rumah di Bukit Merah, Semanggol, Perak pada 2011.

“Kelas pengajian tersebut dikendalikan oleh dua ustaz berfahaman Syiah yang bertugas di salah sebuah sekolah berfahaman Syiah di Gunung Semanggol, Perak,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya KDN dan agensi-agensi kerajaan sentiasa memantau dan peka terhadap ancaman kegiatan serta fahaman Syiah yang kian menular di negara ini.

“Keterangan beliau sendiri melalui kata-kata, penulisan, rakaman ceramah dan aktiviti yang disertainya sama ada dalam dan luar negara, tidak sama sekali menyembunyikan kaitan beliau dengan Syiah.

“Fahaman Syiah boleh menjejaskan aspek keselamatan dan ketenteraman awam termasuklah perpecahan dan keruntuhan nilai persaudaraan ummah,” katanya lagi.
Akui kagumi Komeini, nafi amal Syiah

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menyerahkan kuasa kepada peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengaitkan dirinya dengan pengamal Syiah.

Biarpun KDN hari ini mendedahkan 10 bukti mengenai perkara itu, pemimpin nombor dua Pas itu tetap menafikannya.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, menafikan beliau adalah pengikut Syiah.
Bagaimanapun, beliau mengakui mengagumi pemimpin Iran, Khomeini ‘kerana kepimpinan dan perjuangannya mampu membawa umat Islam lebih berdikari’.

Sebelum itu, Mat Sabu berkata, dakwaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa beliau pengikut Syiah tidak seharusnya dikeluarkan kerana ia bukan sahaja membabitkan dirinya malah boleh menjejaskan hubungan Malaysia dengan negara yang mengamalkan ajaran Syiah.

“Ini satu kenyataan paling tidak cermat dan boleh keruhkan hubungan Malaysia dengan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), sekali gus menyusahkan kerajaan kerana pertikaian akidah umat Islam sedunia,” katanya.

Mat Sabu menegaskan dakwaan itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus berjuang bersama Pas dalam merangka perhimpunan membantah kenaikan harga barang.
“Usikan Zahid tidak jejaskan perjuangan saya menentang kenaikan harga barang,” katanya.