Koleksi Sensasi

Lantik Ustaz Kazim, Umno Tak Ada Pilihan

Pas mendakwa Umno tidak ada "pilihan" untuk menyaingi ulama parti itu dengan hanya melantik ahli biasa menjadi Ahli Majlis Tertinggi (MT).

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bagaimana Umno boleh melantik seorang ahli biasa dalam Pas menjadi MT.

Menurutnya, perkara itu hanya kerana Umno terdesak dan tidak mempunyai pilihan untuk menyaingi tokoh agama dalam Pas.

"Dia (Ustaz Kazim) bagi saya dia hanya ahli biasa dalam Pas.

"Saya rasa hairan kenapa Umno boleh pilih ahli biasa dalam Pas menjadi MT Umno.

"Ini mungkin kerana Umno tak ada pilihan, tak ada tokoh agama yang hebat untuk menyaingi Pas," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Pada Sabtu lepas, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku mansor telah mengumumkan sembilan lagi ahli MT parti itu, termasuk Mohammad Kazim.

Susulan itu, Mohammad Kazim berkata, beliau masih belum membuat keputusan muktamad sama ada untuk menerima pelantikannya sebagai anggota  MT Umno.

Mohammad Kazim berkata, sebelum membuat sebarang keputusan, beliau perlu berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetahui peranannya dalam parti itu, selain menimbang tugasnya sebagai pendakwah.

Terbaru, Pas telah menyatakan Mohammad Kazim telah dipecat pada Mei lalu, selepas PRU13.

Sehubungan itu, apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Mohammad Kazim yang menemplak Pas perlu malu kepada Umno, Tuan Ibrahim berkata : "Sepatutnya dia yang perlu malu, dia ahli Pas tapi berceramah bagi pihak Umno.

"Dia naik atas pentas Umno," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang mendakwa pendakwah atau tokoh agama yang "keluar" Pas dan menyertai Umno kebanyakannya akan "hanyut".

"Kalau kita tengok mana-mana ahli Pas atau pendakwah atau tokoh hebat agama yang pada mulanya ahli Pas, bila keluar sertai Umno semuanya hanyut dan hilang.

"Kita tengok beberapa contoh seperti bekas Imam Besar Masjid Negara, apabila masuk Umno mereka akan hilang, lenyap begitu saja," jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berkata itu adalah hak Mohammad Kazim untuk menyertai mana-mana parti.