Koleksi Sensasi

Lelaki Tabur Wang Kertas Di Pasar Raya


Seorang lelaki, Serge Vorobyov menaburkan puluhan keping wang kertas berjumlah AS$1,000 (RM3,215) dari tingkat empat pasar raya Mall of America di Amerika Syarikat.

Dia kemudian ditangkap polis dan didakwa melakukan perbuatan yang tidak senonoh kerana tindakannya itu boleh menyebabkan orang ramai cedera kerana merebut wang tersebut.

Vorobyov turut menyiarkan rakaman video yang menunjukkan dia membuang wang itu.

Lelaki berkenaan memberitahu di laman sosial itu bahawa dia kini dilanda krisis perceraian dengan isterinya menyebabkan perbuatan tersebut dilakukan.

Vorobyov menganggap nasibnya pada tahun depan akan bertambah baik selepas dia membuang wang itu ketika sebuah band sedang membuat persembahan.

Lelaki itu yang berusia 29 tahun menyatakan tujuannya berbuat demikian untuk mewujudkan perasaan gembira dalam kalangan orang ramai.

Selain bercerai, dia juga gagal dalam perniagaan mengangkut kereta dengan trak.

Dia turut menyatakan perasaan gembiranya dengan perbuatannya itu.

Ketika menceritakan tentang perceraian itu, lelaki berkenaan memberitahu: "Saya tidak mempunyai banyak wang untuk membeli banyak barang. Saya kini mengharungi perceraian yang dahsyat. Dia (isterinya) turut mengambil kucing kami. Dia enggan memberitahu di mana kucing itu kini."

Polis berkata, Vorobyov melakukan perbuatan itu sebagai salah satu cara untuk memujuk bekas isterinya kembali kepadanya. - Agensi