Koleksi Sensasi

Panel Hakim Tarik Diri

KAHERAH - MESIR. Perbicaraan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin (IM), Mohamed Badie bersama 17 anggota gerakan itu bertukar kecoh selepas tiga hakim sekali lagi menarik diri daripada meneruskan prosiding itu yang berlangsung, kelmarin.




Menurut AFP, difahamkan, insiden itu berlaku selepas beberapa tertuduh termasuk Setiausaha Agung Mohammed el-Beltagy mula melaungkan slogan mengutuk pemerintahan tentera selain menyifatkan perbicaraan itu sebagai tidak sah di sisi undang-undang.

Peguam bela IM, Mohammed el-Damati berkata, kesemua anak guamnya berkelakuan seperti itu kerana mereka khuatir tidak akan dibicarakan secara adil.

"Panel hakim baru yang dilantik tersebut memutuskan untuk menarik diri kerana defendan tidak mempercayai sistem kehakiman di negara itu selepas insiden rampasan kuasa 3 Julai lalu," jelasnya lagi.

Kes itu akan dikemukakan kepada Mahkamah Rayuan, di mana panel hakim baru bakal dilantik untuk meneruskan sesi perbicaraan terbabit.

Pada 29 Oktober lalu, perbicaraan Mohamed Badie dan 34 lagi anggota gerakan tersebut terpaksa ditangguhkan selepas tiga hakim memutuskan untuk berundur.

Badie bersama dua timbalannya, Khairat al-Shater dan Rashad al-Bayoumi sebelum ini didakwa menyebabkan kematian sembilan penunjuk perasaan yang menyerbu ibu pejabat gerakan itu di Kaherah pada 30 Jun lalu.