Koleksi Sensasi

Syafiq Kyle Mahu Lari Dari Imej 'Tanah Kubur'


Pelakon baharu Syafiq Kyle tidak mahu terus dikenali sebagai pelakon drama berbentuk keagamaan apabila dia sering terlibat dalam drama bersiri Tanah Kubur.

Syafiq atau nama sebenarnya Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak, 21, bagaimanapun berkata, dia bukan malu dikaitkan dengan drama itu tetapi bimbang dengan watak stereotaip apabila sering kali berlakon sebagai lelaki baik sahaja.

"Ia sesuatu yang baik apabila orang label saya artis islamik tetapi sebagai pelakon saya tidak mahu terikat dengan satu peranan sahaja sebaliknya mahu lebih versatil.

"Bagaimanapun saya tidak terburu-buru untuk mengejar semua watak kerana masih baru dalam bidang ini dan banyak perkara perlu diperbaiki,” katanya kepada mStar Online.

Syafiq ditemui selepas diumumkan memenangi tempat kedua program Liga Lawak Superstar (LLS) terbitan TV3 musim pertama bersama kumpulannya, Apa Kasih Toq yang turut dianggotai oleh Didie Alias dan Kamal Adli.

Apa Kasih Toq berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM75,000 pada pertandingan yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) pada malam Ahad lalu.

Dalam pada itu, Syafiq berkata, walaupun merangkul tempat kedua program LLS namun dia masih belum layak untuk menggelar dirinya sebagai pelawak.

Malah dia juga tidak bercadang untuk melibatkan diri secara serius dalam bidang itu kerana mengakui bukan mudah untuk menjadi seorang pelawak.

"Sebenarnya saya sedikit tertekan kerana pengalaman dalam bidang komedi sangat kurang namun peluang yang diberikan harus saya rebut kerana menerusi program seperti LLS saya boleh menimba pengalaman.

"Selepas menyertai LLS pandangan saya terhadap pelawak di negara ini sangat tinggi kerana saya sedar bukan calang-calang orang boleh berdiri di atas pentas dan buat lawak," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Syafiq berkata, dia bakal muncul dalam dua drama iaitu Senafas Cinta untuk siaran RTM dan baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama kedua bersama TV3 berjudul Tuan Rumah Pembantu Rumah.

Syafiq juga bakal memasuki set drama Tanah Kubur saluran Astro Oasis untuk musim kesepuluh dan kesebelas dalam masa terdekat ini.

Selain Tanah Kubur, Syafiq pernah berlakon drama bercorak islamik lain iaitu Tasbih Putih bersama Johan As’ari bagi saluran yang sama.

Dia juga pernah muncul untuk sebuah telefilem komedi untuk siaran Aidiladha lalu di TV3 iaitu Kampungku dan Aidiladha serta drama bersiri Kampung Girl bergandingan dengan Akim Ahmad dan Nad Zainal.