Koleksi Sensasi

Lelaki Ini Terkejut Membaca Pemberitahuan Tentang Kematiannya


Seorang lelaki warga emas, Sven-Olof Svensson, 81, terkejut membaca pemberitahuan tentang kematian dirinya yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan di sini selepas berlaku silap faham antara doktor dengan seorang ahli keluarganya.

Svensson berkata, dia dirawat di sebuah hospital selatan Sweden semasa jatuh sakit pada Krismas lalu sebelum terkejut apabila membaca satu obituari yang memberitahu tentang kematiannya baru-baru ini.

Menurutnya, kesilapan itu berlaku apabila seorang kakaknya yang berusia 90 tahun menghubungi hospital untuk bertanya keadaannya tetapi dia silap faham apabila menganggapnya telah meninggal dunia.

"Kakak saya menelefon doktor dan bertanya mengenai keadaan saya dan apa yang dia fahami, saya telah meninggal dunia.

"Kakak saya yang terkejut dan bersedih kemudiannya menulis obituari mengenai saya dan menyiarkan di sebuah akhbar tempatan,'' katanya.

Bagaimanapun, kesilapan tersebut disedari oleh seorang rakan Svensson, Lars Faltskog yang datang ke hospital untuk menziarahinya dan mendapati rakannya itu masih hidup. - Agensi