Koleksi Sensasi

Pahang Tundukkan Perak 5-4


JUARA Piala Malaysia, Pahang menepati ramalan apabila layak ke pusingan kedua Piala FA selepas menundukkan Perak 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi pusingan pertama di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.

Terdahulu, kedua-dua pasukan terpaksa bermain sehingga masa tambahan selepas terikat dengan kedudukan 2-2.

Penjaga gol, Mohd. Khairul Azhan muncul wira Tok Gajah selepas berjaya menepis tiga sepakan penalti Perak.

Pahang terlebih dulu mengejutkan Perak seawal minit kesembilan apabila memperoleh gol pembukaan hasil jaringan Mohd. Azammuddin Akil.

Kelebihan pasukan pelawat itu hanya bertahan selama tiga minit apabila kapten Perak, Hardi Jaafar berjaya menyamakan kedudukan melalui rembatan deras dari luar kotak penalti.

Ketua jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzim terpaksa mengeluarkan tonggak pertahanan, Martin Kafando pada minit ke-30 akibat kecederaan.

Namun, situasi itu langsung tidak merencatkan percaturannya apabila kapten skuad Bawah 23 tahun Myanmar, Kyaw Zayar Win berjaya menggembirakan 10,000 penyokong Perak apabila meledak gol kedua pada minit ke-45.

Gol penyamaan yang dicari-cari pasukan pelawat akhirnya menjelma apabila Damian Stewart menandukkan kemas bola hasil sepakan penjuru Mohd. Hafiz Kamal pada minit ke-57.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah boleh tersenyum bangga apabila berjaya membenam Kuala Lumpur 4-0.

Mendapat sokongan kira-kira 5,000 penyokong sendiri, Kedah bagaimanapun gagal memperoleh gol pada babak pertama.

Pada babak kedua, Kedah mula menmperkemas bahagian serangan melalui gerakan yang lebih tersusun.

Hasilnya pada minit ke-58, Kedah mendahului melalui tandukan kencang, Kharul Helmi Johari.

Pada minit ke-65, Kedah berjaya menambah gol kedua menerusi Mohd. Khyril Muhymeen Zambri.

Kuala Lumpur terus tertekan apabila pemain import Kedah, Adam Griffths berjaya meletakkan pasukannya selesa di hadapan tujuh minit kemudian.

Griffiths menambah gol kedua peribadinya pada minit ke-77.