Koleksi Sensasi

Empat Beradik Dari Sweden Akan Bersekolah Di Kelantan


Empat anak pasangan warga Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Sweden akan dijaga ibu saudara mereka di Kampung Bukit Tanah, Peringat, Kelantan.

Shaleena Norshal, 43, seorang guru yang mempunyai empat anak berusia antara dua dan 17 tahun, berkata beliau gembira kerana dapat menjaga semua anak saudaranya itu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia, terutama Perdana Menteri kita (Datuk Seri Najib Razak) dan (Timbalan Menteri Luar) Datuk Hamzah Zainuddin.

“Bagi pihak keluarga kami amat gembira mereka kembali kepada kami di sini,” katanya kepada pemberita sejurus tiba bersama-sama anak saudaranya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, malam tadi.

Ketibaan Aishah Azizul Raheem, 14, dan tiga adiknya iaitu Ammar, 12, Adam, 11, dan Arif,7, disambut anggota keluarga dalam suasana gembira bercampur sedih sebaik tiba pada jam 8.15 malam dengan pesawat FireFly dari Kuala Lumpur.

Azizul Raheem Awalludin, pegawai Tourism Malaysia di Sweden dan isteri, Shalwati Norshal, seorang guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan reman sejak 18 Disember lalu kerana didakwa memukul tangan seorang anak lelaki mereka kerana tidak solat.

Mengulas perancangan masa depan, termasuk persekolahan keempat-empat beradik itu, Shaleena, adik kepada Shalwati, berkata perkara itu akan dibincangkan dengan ahli keluarganya.

Sementara itu, suami Shaleena, Nik Ahmad Farid Nik Abdullah, 44, berkata empat beradik berkenaan memang rapat dengan anaknya dan sering tinggal di rumahnya apabila mereka pulang bercuti di kampung halaman.

“Mereka akan bersekolah di negeri ini, bagaimanapun, sekolah berkenaan belum ditetapkan lagi,” katanya.

Bagaimanapun, ahli keluarga tidak membenarkan pihak media menemuramah Aishah dan adik-adiknya.

Empat beradik itu tiba jam 7.04 pagi semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Stockholm menaiki pesawat Malaysia Airlines.

Mereka ditemani Hamzah, seorang pegawai khas beliau dan seorang saudara keluarga empat beradik itu. – BERNAMA