Koleksi Sensasi

Ketua Kartel Dadah Paling Berkuasa Di Dunia Ditahan Anggota Marin


Ketua kartel dadah yang paling berkuasa di dunia, Joaquin 'El Chapo' Guzman (gambar) ditahan dalam satu serbuan terancang oleh anggota marin Mexico di sebuah apartmen tepi pantai di bandar Mazatlan.

Guzman, 56, yang melarikan diri dari pihak berkuasa sejak 12 tahun lalu ditahan pada pukul 6.40 pagi waktu tempatan bersama seorang wanita dan dua pengawal peribadi.

Bagaimanapun, tiada sebarang tembakan dilepaskan dalam serbuan tersebut.

Dia sebelum ini dianggap legenda dunia penjenayah kerana berjaya melarikan diri dari penjara yang mempunyai kawalan keselamatan paling ketat di Mexico dengan bersembunyi dalam sebuah lori dobi pada tahun 2011.

Pihak berkuasa menganggap beliau sebagai pengedar dadah paling berkuasa dan bertanggungjawab membekalkan dadah untuk pasaran Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara di seluruh dunia.

Sindiket pengedaran dadah yang diketuai Guzman dipercayai menjana keuntungan lebih AS$3 bilion (RM9.8 bilion) setahun dan lelaki itu beberapa kali disenarai sebagai individu paling kaya di dunia oleh majalah Forbes.

Guzman atau lebih dikenali sebagai Shorty dikehendaki oleh beberapa negara dan kerajaan AS menawarkan ganjaran sebanyak AS$5 juta (RM16.4 juta) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapan lelaki itu. - Agensi