Koleksi Sensasi

Makhluk Halus Merupa Julia Ziegler - Pengarah


Pengarah filem Aku Akan Muncul iaitu Roy Krishnan berkata, dia dan kru produksi diganggu makhluk halus ketika menjalani penggambaran filem tersebut di sebuah hutan di Kota Tinggi, Johor pada Oktober 2012.

Roy berkata, atas faktor keselamatan, pihak produksi telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan memanggil seorang ustaz untuk menghalau makhluk-makhluk halus itu agar penggambaran dapat dijalankan dengan lancar.

Tambah Roy, dia juga bersyukur walaupun melihat kelibat makhluk tersebut, namun pelakon-pelakon yang terlibat tidak diganggu termasuklah dirasuk ataupun mengalami histeria.

Selain Julia Ziegler, filem seram terbitan RM Vision Film Production Sdn. Bhd itu turut dibarisi pelakon seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Maimon Mutalib (Allahtyarham), Liza Abdullah, Zulkifli Ismail, Noor Akma, Zaibo dan Musly Ramly.

Barisan pelakon-pelakon baharu pula terdiri daripada Abam (Bochey), Syafiq, Megat Samsuddin, Alfie, Firah, Shairah dan Azura.

Ia mengisahkan tentang Kesuma (Julia) yang memiliki raut wajah yang cantik, tetapi gemar membandingkan kecantikannya itu dengan rakannya Mawar sehingga membuatkan rakan-rakannya yang lain seperti bosan dengan tingkah lakunya.

Bagaimanapun, kecantikan yang dimiliki Kesuma tidak bertahan lama apabila dia terlibat dengan kemalangan ketika mencari inai.

Akibatnya, wajah Kesuma telah menjadi buruk dan untuk memulihkan wajahnya itu, Kesuma meminta bantuan Mak Yam (Maimon) yang cukup terkenal sebagai seorang dukun yang hebat.

Dalam pada itu Beritahu Roy, karyanya akan dilihat berbeza berbanding filem lain di mana kesemua babak yang melibatkan hantu telah disunting dalam bentuk teknik pengimejan berkomputer (CGI) oleh pakar penyunting di India.