Koleksi Sensasi

Sarjan Paksa Anak Buah Makan 15 Burger


Tokyo: Seorang anggota polis berpangkat sarjan meletak jawatan selepas ditahan kerana memaksa orang bawahannya memakan sehingga 15 burger sebagai cara untuk mendisiplinkan mereka.

Sarjan di bahagian trafik yang berusia 40 tahun itu meletak jawatan dari jabatan polis di Osaka, barat Jepun minggu lalu.

Akhbar Yomiuri Shimbun berkata, dia berulang kali mengarahkan empat orang bawahannya, memakan 15 burger, 15 donat, empat cawan besar mi segera atau tiga hingga empat liter kopi susu.

“Selepas mendapati orang bawahannya tidak bekerja secukupnya, saya bertindak mendisiplinkan mereka,” kata sarjan berkenaan kepada penyiasat.

Orang bawahannya yang berusia 20-an dan 30-an yang ditugaskan di dua pos polis komuniti dipaksa makan makanan itu apabila sarjan itu melawat mereka. - AFP