Koleksi Sensasi

Zaid Ibrahim Pernah Lobi Projek Selangor Semasa Dalam PKR, Kata Rafizi

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli hari ini mendedahkan Datuk Zaid Ibrahim juga pernah melobi projek semasa berada dalam parti dan mengecamnya tidak layak bercakap mengenai ketelusan.

Rafizi mendedahkan Zaid yang juga bakal calon bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pernah melobi beberapa projek di Selangor.

"Dalam tempoh pendek lebih setahun beliau menjadi anggota PKR, beliau juga tidak segan silu cuba menggunakan kedudukan di dalam parti untuk mempengaruhi keputusan kerajaan negeri.

Rafizi Ramli
"Sebagai pegawai eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, saya pernah didatangi sendiri Datuk Zaid, meminta supaya kami campur tangan dalam dua projek yang diusahakan rakan atau pihak yang bersabit dengan beliau," kata Rafizi pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Rafizi turut mengedarkan salinan pertukaran e-mel antara beliau dengan Zaid yang menunjukkan usaha melobi dua projek di Selayang dan Petaling Jaya.

Susulan pengumuman Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding PRK Kajang, Zaid juga menyatakan hasratnya untuk melawan bekas bosnya itu.

Zaid berkata tindakan Lee Chin Cheh meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang adalah tidak wajar dan memberi amaran krisis politik bakal berlaku di Selangor.

Dalam kandungan email tersebut, Rafizi mendakwa Zaid berinteraksi dengannya menggunakan alamat e-mel carbofree@gmail.com bagi melobi projek pembangunan bersama Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB).

"Projek pertama melibatkan tanah seluas 26 ekar di Batu, Selayang.

"Saya dimaklumkan bahawa rakan-rakan kongsi beliau membuat cadangan pembangunan bersama dengan KHSB," kata Rafizi lagi.

Bagaimanapun, Rafizi tidak melayan permintaan Zaid sebaliknya meminta beliau menggunakan proses sepatutnya.

"Saya memaklumkan perkara ini kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kami bersetuju bahawa adalah tidak menepati prosedur pejabat kami untuk membenarkan pimpinan parti melobi atau mempengaruhi keputusan kerajaan negeri, terutamanya bersabit harta awam," katanya.

Rafizi kemudian mengecam bekas menteri Kabinet itu kerana masih mengamalkan budaya politik Umno walaupun selepas meninggalkan parti tersebut.

"Sebelum beliau terus lantang mencabar orang lain, wajarlah Zaid menjelaskan kenapa beliau kekal dengan budaya Umno-BN setelah meninggalkan parti tersebut," kata Rafizi.

Zaid menyertai PKR pada 2009 selepas keluar daripada Umno dan bertanding untuk jawatan timbalan presiden pada tahun berikutnya, namun keluar parti pada November 2010 gara-gara kemelut yang dialami dalam pilihan raya PKR.

Pada Disember 2010, Zaid menubuhkan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (dahulunya dikenali Angkatan Keadilan Insan Malaysia) dan dilantik sebagai presiden parti.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas Lee meletakkan jawatan pada hujung Januari lalu bagi memberikan laluan kepada Anwar, dikatakan juga bakal menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.

Zaid berkata keputusan untuk bertanding yang diambilnya adalah bagi memastikan Abdul Khalid terus kekal sebagai menteri besar Selangor. – 26 Februari, 2014.themalaysianinsider