Koleksi Sensasi

Aura Ultras Mungkin Hilang


Angkara protes melampau Ultras Malaya, skuad kebangsaan kemungkinan terpaksa beraksi di stadium kosong atau di gelanggang berkecuali selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengeluarkan surat pertuduhan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Jumaat lalu.

Menerusi surat pertuduhan itu AFC mendakwa FAM di bawah Artikel 65, 66, dan 67 kerana gagal menyediakan keselamatan perlawanan persahabatan antarabangsa antara Malaysia dengan Filipina di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 1 Mac lalu selepas Ultras Malaya bertindak membakar suar dan mercun serta membaling bom asap ke dalam padang.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, selepas menerima surat pertuduhan daripada AFC, mereka perlu menjawab segala pertuduhan itu selewat-lewatnya hari ini.

“AFC menghantar surat pertuduhan Jumaat lalu. Surat pertuduhan itu dikeluarkan berdasarkan laporan Komisioner Perlawanan di bawah Artikel 65, 66, dan 67 membabitkan keselamatan perlawanan dan keganasan penyokong.

“Pertuduhan itu dibuat atas tindakan penyokong membakar suar, mercun dan membaling bom asap sehingga menyebabkan perlawanan dihentikan. Jadi kami perlu menjawab segala pertuduhan ini esok (hari ini) atau meminta penangguhan bagi menyediakan penjelasan kepada AFC,” katanya ketika dihubungi semalam.