Koleksi Sensasi

Ukraine-Rusia Sedia Berperang

Kerajaan Ukraine mula berada selangkah ke dunia peperangan selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin mengisytiharkan beliau mempunyai hak untuk menceroboh Semenanjung Crimea.



Ketegangan yang berlaku melibatkan Ukraine dengan Rusia dan Barat itu dianggap yang paling buruk sejak Perang Dingin berakhir.

"Ia (pengumuman Putin) itu bukan merupakan satu ancaman, sebaliknya ia sebenarnya pengisytiharan perang ke atas negara kami," kata Perdana Menteri Ukraine, Arseny Yatseniuk.

Beliau merupakan ketua kerajaan pro-Barat yang mengambil alih kuasa di Ukraine selepas Presiden negara itu yang pro-Rusia, Viktor Yanukovych melarikan diri dari Kiev pada minggu lalu.

Putin memperoleh kebenaran daripada anggota-anggota Parlimen negaranya untuk melindungi warga Rusia di Ukraine selepas krisis politik berlaku di negara tersebut.

Tentera Rusia telah menawan Crimea yang merupakan wilayah Ukraine yang diberikan taraf pemerintahan autonomi.

Wilayah itu mengandungi sebuah pangkalan tentera laut milik Rusia.

Askar-askar Rusia turut mengepung beberapa buah pusat ketenteraan Ukraine dan menuntut tentera negara itu meletakkan senjata.

Sebahagian askar Ukraine enggan menurut arahan tentera Rusia walaupun tiada tembakan kedengaran.

Majlis Keselamatan Ukraine mengarahkan para pegawainya memastikan semua askar diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk berdepan sebarang pertempuran.

Kementerian Pertahanan Ukraine mengarahkan semua anggota simpanan diaktifkan.

"Jika Presiden Rusia mahu menjadi Presiden yang memulakan peperangan melibatkan dua buah negara berjiran ini, beliau akan mencapai sasarannya dalam tempoh yang amat dekat. Kita kini berada di pinggir bencana," kata Yatseniuk menerusi televisyen yang meminta sokongan negara-negara Barat.

Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyuarakan kebimbangan berhubung pencerobohan Rusia ke dalam wilayah Ukraine.

Menurut Whita House, Rusia jelas melanggar undang-undang antarabangsa kerana telah menceroboh wilayah Ukraine.

Ukraine turut meminta bantuan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berhubung ancaman Rusia.

Konflik di Ukraine semakin memuncak selepas anggota-anggota Parlimen memilih Oleksandr Turchynov sebagai Presiden sementara bagi menggantikan Yanukovych yang melarikan diri dari Kiev pada bulan lalu.

Yanukovych melarikan diri selepas beliau menandatangani satu perjanjian damai tajaan Barat bagi meredakan situasi politik selepas hampir 100 orang mati akibat pertempuran antara polis dengan pe nunjuk perasaan.

Para penunjuk perasaan itu menuntut Yanukovych meletakkan jawatan selepas beliau enggan menandatangani satu perjanjian perdagangan dengan Kesatuan Eropah.

Jika perjanjian itu ditandatangani, barangan Ukraine akan menembusi pasaran di Eropah. - Agensi