Koleksi Sensasi

Ahmad Said Kembali Kepada UMNO

Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada Umno dan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak selepas menarik balik surat keluar dari parti.

Mengumumkan keputusan untuk kembali ke pangkuan Umno, Adun Kijal itu berkata beliau memohon maaf kepada Najib berhubung tindakan beliau dan Najib pula memohon maaf kepadanya berhubung salah faham mengenai tarikh perkahwinan anak perempuannya.
Beliau memberitahu sidang media di kediaman rasminya di sini bahawa dia telah bertemu dengan Perdana Menteri di Putrajaya pada awal hari Rabu.
"Pada pertemuan itu, kami bersetuju bahawa ia adalah satu salah faham kecil. Kami kedua-duanya memohon maaf dan bersetuju bahawa perkara itu telah diselesaikan," katanya.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan bahawa Exco Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu Datuk Mohd Jidin Shafee berkata,  Ahmad berjanji dengan perdana menteri untuk menyokong penuh pucuk pimpinan negeri diterajui menteri besar yang baharu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau berkata, Adun Ajil Ghazali Taib, yang sebelum ini turut mengambil keputusan keluar daripada parti, memohon maaf kepada Najib, dan menarik balik surat itu.

Mohd Jidin berkata Ahmad dan Ghazali melahirkan rasa kesal mereka ekoran tindakan secara terburu-buru itu.

"Sehubungan itu, kita 17 Adun (BN) telah bersepakat untuk terus memimpin negeri Terengganu tanpa ada masalah.

"Yang lepas biarlah lepas. Jangan kita ambil kisah lagi. Kita perlu terus bersatu demi perpaduan parti kita," kata Mohd Jidin.

Awal pagi semalam, Ahmad dan Ghazali mengumumkan keputusan untuk keluar daripada Umno dan menjadi wakil rakyat bebas.

Pada Isnin, Ahmad meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu untuk memberi laluan kepada Ahmad Razif, yang juga Adun Seberang Takir, mengambil alih jawatan itu daripada beliau.