Koleksi Sensasi

DAP Menang PRK Kerusi Parlimen Bukit Gelugor

DAP mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gelugor pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P051, Ahad dengan majoriti lebih kecil.

Calonnya, Ramkarpal Singh Deo memperoleh majoriti 37,659 undi menewaskan tiga lagi calon lain.

Ramkarpal memperoleh 41,242 undi manakala calon Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan dengan 3,583 undi.


Dua lagi calon Bebas, Mohamad Nabi Bux Mohd Abd Sathar mendapat sebanyak 299 undi dan Abu Backer Sidek Mohamad Zan yang juga seorang peguam sekadar memperoleh 225 undi.

Jumlah undi yang diperoleh ketiga-tiga lawan Ramkarpal itu menyaksikan mereka hilang wang pertaruhan.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Bukit Gelugor, Kapten (B) Anuar Yahya di Dewan Sri Pinang dekat Padang Kota Lama di sini pada pukul 9.05 malam.

Kemenangan itu seolah-olah dijangka awal apabila dewan pengumuman mula sesak dipenuhi penyokong DAP yang berhimpun sejak petang sebelum keputusan diumumkan.

Kerusi Parlimen Bukit Gelugor diisytiharkan kosong berikutan kematian penyandangnya, Karpal akibat kemalangan jalan raya di Kampar, Perak pada 17 April lalu.

Bukit Gelugor mempunyai 14.48 peratus atau 11,880 pengundi Melayu, 61,112 atau 74.49 peratus pengundi Cina, 8,660 atau 10.56 pengundi India dan 0.48 peratus atau 390 lain-lain kaum.

Pada PRU-13 lalu, mendiang Karpal memenangi kerusi itu dengan majoriti 41,778 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Teh Beng Yeam yang memperoleh 14,061 undi.