Koleksi Sensasi

Filem 'Abang Long Fadil', Yusof Haslam Kesali LPF

Penerbit filem Datuk Yusof Haslam meluahkan rasa kesal apabila karya anaknya, Syafiq Yusof iaitu Abang Long Fadil  diberi had tontonan untuk golongan 18 tahun ke atas (PG18) oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).



Yusof berkata, dia terkejut dengan keputusan LPF itu kerana karya berkenaan hanyalah sebuah filem dengan babak yang penuh aksi lawan selain berunsur komedi.

Sedangkan banyak filem lain terutamanya karya antarabangsa yang lebih ganas tetapi diberi pula tontonan untuk golongan berumur 13 tahun ke atas (P13).

Tambah Yusof, pihak LPF sepatut lebih bersikap terbuka dalam menapis sesebuah filem tempatan kerana kebanyakkan filem Melayu sering ditapis sedangkan ia bukanlah babak yang boleh menjejaskan fikiran penonton.

Dalam pada itu Yusof berkata ia juga sedikit sebanyak boleh menjejaskan industri filem negara tanpa sedar.

Abang Long Fadil  merupakan kesinambulangan filem KL Gangster  berkonsepkan gangster komedi parodi menampilkan barisan pelakon Aaron Aziz, Syamsul Yusof, Kamal Adli, Soffi Jikan, Tauke Raja Lawak, Yassin Senario, Arman Graseka, Zizan Razak dan Harun Salim Bachik.

Filem ini mengisahkan tentang Abang Long Fadil lakonan Zizan Razak mahu menjadi samseng sehebat Malik (Aaron) dan Shark (lakonan Syamsul Yusof).

Selepas keluar daripada kumpulan gangster Shark, Fadil diminta untuk menawan Kampung Berani menjadi ketua gangster di kampung tersebut agar tidak dibunuh oleh Shark.

Abang Long Fadil  bakal ditayangkan di 81 pawagam bermula 29 Mei 2014.
posted@malaysiasensasi.net